Penganalisis optimis MAHB akan bertahan lama | DagangNews Skip to main content

Penganalisis optimis MAHB akan bertahan lama

Gambar Facebook Malaysia Airports

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Firma penyelidikan, MIDF Research yakin Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan bertahan lama dari segi kewangannya sekali gus berjaya mengharungi tempoh-tempoh mencabar ketika ini. 

 

Ini terbukti dengan keupayaan MAHB dalam mengumpul dana yang menggambarkan syarikat mempunyai kedalaman dan capaian dalam pasaran modal, jelas penganalisisnya, Ummar Fitri. 

 

“Syarikat telah berjaya meraih kemudahan kredit, penangguhan pembayaran daripada rakan kongsi utama dan masih mengekalkan penarafan kreditnya. 

 

“Setakat Mac 2021, kumpulan memegang RM1.6 bilion wang tunai dengan RM900 tersedia untuk operasi Malaysia. 

 

“Dalam pada itu, MAHB mempunyai RM3.125 bilion pendanaan yang tersedia, terdiri daripada RM1.325 bilion berbentuk kemudahan kredit pusingan siap dan kemudahan sukuk yang tidak digunakan berjumlah RM1.8 bilion,” jelas Ummar dalam satu nota kajian hari ini. 

 

Sebelum ini, MAHB mencatatkan kerugian mencecah -RM236.1 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21), penyusutan 283.0% bagi perbandingan tahun ke tahun (y-o-y). 

 

Ummar menyifatkan awal tahun ini merupakan tempoh yang ‘brutal’ buat pemain industri penerbangan. 

 

Di sebalik prestasi yang lebih rendah daripada unjuran MIDF, firma penyelidikan itu masih mengekalkan saranan ‘beli’ saham MAHB dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM6.70. 

 

Prestasi kewangan oleh MAHB bagi suku tahun semasa juga lebih rendah daripada unjuran Kenanga Research, yang sekali gus mengunjurkan kumpulan bakal mencatatkan kerugian sehingga RM662 juta bagi FY21 berbanding ramalan RM474 juta keuntungan bersih. 

 

Penganalisis Kenanga, Raymond Choo Ping Khoon bagaimanapun tidak menafikan pengedaran vaksin buat masa ini sesuatu yang positif buat sektor perjalanan udara terutamanya MAHB. 

 

Beliau seterusnya menjangkakan MAHB bakal menerima manfaat permintaan yang lebih kukuh memasuki separuh kedua tahun 2021 (2H21). 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas saham MAHB dengan TP diturunkan kepada RM7.00 sesaham.

 

CGS-CIMB Research sebaliknya percaya prospek pemulihan yang cepat dalam perjalanan domestik dan antarabangsa telah ‘malap’ walaupun terdapat program vaksinasi yang berterusan.

 

Susulan itu, penganalisisnya, Raymond Yap menyemak turun trafik Malaysia bagi tahun ini pada kadar 64% lebih rendah berbanding tahun lalu.

 

Namun, penarafan ‘tambah’ telah diberikan ke atas saham MAHB selepas mengambil kira ramalan bahawa sempadan antarabangsa akan lebih dibuka bermula pertengahan tahun 2022. - DagangNews.com