Penganalisis optimis pertumbuhan stabil Serba Dinamik berterusan | DagangNews Skip to main content

Penganalisis optimis pertumbuhan stabil Serba Dinamik berterusan

 

KUALA LUMPUR 23 April -  Penganalisis di RHB Institute Research yakin pertumbuhan stabil yang ditonjolkan oleh Serba Dinamik Holdings Berhad akan berterusan, disokong oleh keteguhan tempahan dan projek sedia ada yang kukuh. 

 

Ini terutamanya melibatkan segmen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kumpulan, menurut Sean Lim.

 

Katanya, segmen ICT Serba Dinamik dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh bagi perkhidmatan tenaga dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

“Projek hab inovasi di Abu Dhabi bernilai RM7.7 bilion ketika ini berada pada tahap kejuruteraan dan reka bentuk serta kerja pembinaan dijangka bermula pada separuh kedua 2021 (2H21). 

 

“Kerja memantakkan tiang bagi projek pusat data bernilai RM1.5 bilion telah bermula pada April dan kerja pembinaan juga dapat dipecepatkan pada 2H21.

 

“Kami difahamkan kedua-dua projek itu akan diiktiraf di bawah bahagian ICT,” jelas Lim. 

 

RHB mengekalkan saranan ‘beli’ saham Serba Dinamik dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM2.53 sesaham. 

 

Dalam pada itu, Serba Dinamik sedang meneroka teknologi angkasa yang melibatkan kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) selain kolej dan universiti tempatan, menurut Lim. 

 

Katanya, Serba Dinamik juga menjalinkan kerjasama dengan Swissto12 yang menghasilkan komponen satelit menerusi teknologi cetakan 3D, bagi meningkatkan keupayaan dalaman kumpulan.

 

“Kami positif terhadap usaha terkini kumpulan dalam meneroka teknologi angkasa, tetapi impaknya ke atas pendapatan jangka pendek agak minimum. 

 

“Saranan kami berdasarkan aliran tunai operasi yang bertambah baik dan tidak memerlukan tambahan tunai,” ujar Lim.

 

Setakat 2.50 petang, nilai saham Serba Dinamik menokok 2 sen kepada RM1.63. - DagangNews.com