Penganalisis positif terhadap prospek jangka panjang dan trajektori pertumbuhan KPJ Healthcare | DagangNews Skip to main content

Penganalisis positif terhadap prospek jangka panjang dan trajektori pertumbuhan KPJ Healthcare

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Dis - Penganalisis positif terhadap prospek jangka panjang serta trajektori pertumbuhan KPJ Healthcare Berhad dan memihak kepada strategi kumpulan itu bagi megembangkan lagi strategi perniagaan pelancongan perubatannya.

 

Keuntungan bersih KPJ bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) melonjak kepada RM90.31 juta berbanding RM50.69 juta setahun lalu, hasil keuntungan RM41.5 juta daripada penjualan operasinya di Indonesia, manakala perniagaan hospital di Malaysia bertambah baik.

 

Hasil suku tahunan meningkat 15.9% kepada RM925.39 juta daripada RM798.75 juta sebelumnya, disebabkan peningkatan dalam lawatan pesakit dalam dan kadar penghunian katil.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23), keuntungan bersih melonjak 89.3% kepada RM189.15 juta daripada RM99.9 juta sebelumnya, apabila hasil meningkat 19.4% kepada RM2.55 bilion daripada RM2.14 bilion.

 

Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata, pengembangan kapasiti berterusan kumpulan dan tumpuan strategik terhadap pelancongan perubatan membolehkan penetapan harga premium, mengukuhkan hasil dan skala ekonomi bagi mengimbangi tekanan inflasi.

 

Katanya, prestasi yang lebih baik di Malaysia disokong oleh peningkatan jumlah lawatan pesakit dalam sebanyak 12% dari tahun ke tahun, ditambah peningkatan 14% dalam hari pesakit dalam daripada 202,683 kepada 230,824 pada 3QFY23.

 

KPJ Damansara 2 dan KPJ Pulau Pinang mempamerkan peningkatan terbesar dalam hasil.

 

"Kami kekal optimistik terhadap prospek jangka panjang KPJ kerana bersedia untuk memanfaatkan peralihan demografi yang menggalakkan, termasuk populasi yang semakin tua dan segmen berpendapatan sederhana yang sedang berkembang, memupuk pertumbuhan yang mampan melalui permintaan yang tinggi bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.45 sesaham," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan kumpulan perubatan itu mengekalkan jumlah kehadiran pesakit dan prosedur perubatan.

 

Firma penyelidikan itu meningkatkan unjuran untung bersih teras FY23 sebanyak 5% dan keuntungan termasuk pelupusan bernilai RM28 juta sebanyak 18%.

 

"Kami kekal optimis terhadap usaha penstabilan kos dan peningkatan hasil KPJ dan pada masa sama, kami mengekalkan unjuran keuntungan antara 14% hingga 15% bagi FY24 dan FY25," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.42 sesaham. - DagangNews.com