Penganalisis ramal BigPay mungkin perlukan lagi dana pembiayaan | DagangNews Skip to main content

Penganalisis ramal BigPay mungkin perlukan lagi dana pembiayaan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Selepas meraih AS$100 juta atau sekitar RM422.40 juta dana untuk menjadi bank digital terunggul di Asia Tenggara, unit e-dompet AirAsia Group Berhad, BigPay mungkin memerlukan lagi pusingan pembiayaan lanjut. 

 

Walaupun PublicInvest Research positif terhadap aspek perniagaan berkenaan, namun pandemik COVID-19 dilihat terus memberi kesan besar ke atas operasi kumpulan secara keseluruhannya.

 

“Kami agak positif terhadap perkembangan ini memandangkan ia berpotensi meningkatkan skala operasi dan mempercepatkan perkembangan produk yang akan dibantu oleh pembiayaan tersebut.

 

“Matlamat BigPay untuk menjadikannya sebuah bank pencabar di rantau ASEAN mampu dicapai, walaupun memerlukan pusingan pembiayaan lanjut. 

 

“Kami mengekalkan saranan ‘underperform’ ke atas AirAsia dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM0.19 (sesaham),” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

AirAsia pada minggu lalu mengumumkan BigPay, telah meraih dana sehingga AS$100 juta daripada konglomerat Korea Selatan, SK Group.

 

Ini adalah kali pertama syarikat di bawah portfolio airasia Digital itu memperoleh dana sebesar ini. 

 

Baca : BigPay raih dana sehingga AS$100 juta dari firma Korea Selatan

 

Dana daripada salah sebuah konglomerat dan syarikat teknologi terbesar di Korea Selatan berkenaan dijangka memperkukuh usaha digital AirAsia yang kini semakin pesat membangun termasuk perkhidmatan logistik dan kewangan.

 

Ditubuhkan pada tahun 2017, BigPay kini mempunyai perkhidmatan di Malaysia dan Singapura. 

 

Buat masa ini, perkhidmatan yang ditawarkan termasuk kad debit prabayar yang boleh digunakan di mana-mana sahaja yang menerima pedagang Visa atau Mastercard, pemindahan wang tempatan dan antarabangsa, insurans mikro, pembayaran bil dan ciri penganggaran kewangan. 

 

BigPay juga telah melancarkan rangkaian produk untuk penggunanya yang menumpukan kepada kesihatan kewangan dan aksesibiliti jangka panjang. - DagangNews.com