Penganalisis ramal BNM kekalkan OPR 1.75% | DagangNews Skip to main content

Penganalisis ramal BNM kekalkan OPR 1.75%

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) antara 7 hingga 8 Julai depan. 

 

Ini selepas inflasi utama di Malaysia dijangka terus menurun bagi sepanjang tahun ini, menurut CGS-CIMB Research yang seterusnya mengekalkan unjuran inflasi 2021 pada kadar 3.1%. 

 

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dijangka mengehadkan operasi ekonomi di bawah potensinya untuk jangka masa panjang, yang memerlukan dasar monetari akomodatif. 

 

“Sehubungan itu, kami menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada kadar 1.75% bagi separuh kedua 2021 (2H21),” jelas CGS-CIMB dalam satu nota kajian.

 

Tambah firma itu, pelaksanaan kawalan harga semasa Aidilfitri antara 21 April hingga 20 Mei meredakan inflasi makanan pada bulan lalu terutamanya sayur-sayuran, daging dan ikan. 

 

Bagaimanapun, terdapat juga laporan bahawa harga makanan melonjak susulan gangguan rantaian bekalan akibat sekatan pergerakan yang diperketatkan, ujar CGS-CIMB. 

 

Inflasi bahan bakar pula dijangka terus mereda kerana penurunan harga tahun lalu dan pelaksanaan harga siling petrol RON95 dan diesel.

 

Baca : Harga pengguna dijangka terus meningkat - MIDF

 

Senada unjuran CGS-CIMB, AmBank Research turut meramalkan OPR dikekalkan pada kadar 1.75%. 

 

Ramalan itu dibuat walaupun terdapat ketidaktentuan yang memuncak susulan pandemik COVID-19, yang seterusnya menambah risiko pertumbuhan akibat gangguan rantaian bekalan dan kelewatan pembukaan semula ekonomi. 

 

Baca : OPR kekal 1.75% - BNM

 

“Kadar inflasi dijangka berlegar sekitar 3.0% hingga 3.5% bagi sepanjang tahun ini (BNM: 2.5% - 4.0%).

 

“Ini bermakna purata kadar inflasi bagi tempoh tujuh bulan akan datang berada pada kadar 3.6% hingga 4.5%,” jelas AmBank.

 

Sebarang peningkatan OPR oleh BNM mungkin hanya berlaku pada tahun 2022, melihatkan tumpuan kini ke arah pembendungan pandemik, mempercepatkan vaksinasi dan pengujian kuarantin bertambah, ujar AmBank lanjut. - DagangNews.com