Penganalisis semak turun anggaran pendapatan, penarafan saham SP Setia | DagangNews Skip to main content

Penganalisis semak turun anggaran pendapatan, penarafan saham SP Setia

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Penganalisis menyemak turun anggaran pendapatan SP Setia Bhd. bagi tahun kewangan 2021 (FY21) susulan prospek kumpulan yang masih kurang menyakinkan di sebalik cabaran pandemik COVID-19.

 

Ini menyaksikan MIDF Research memberi saranan 'neutral' berbanding 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.33. 

 

"Pendapatan bersih teras bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021 SP Setia sebanyak RM172.4 juta berada di bawah jangkaan, masing-masing menyumbang 52% dan 67% daripada anggaran tahun penuh kami dan konsensus.

 

"Walaupun, kami mengekalkan anggaran pendapatan atau jualan kasar bagi tahun kewangan 2021 (FY21) tetapi kami menyemak turun anggaran pendapatan ini sebanyak 27% kepada RM263.8 juta setelah mengambil kira faktor kos yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, SP Setia kembali mencatat keuntungan pada suku ketiga berakhir 30 September 2021 di sebalik pendapatan yang lebih rendah.

 

Kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM11.01 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM267.01 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagaimanapun susut 44.97% kepada RM594.55 juta pada suku berkenaan daripada RM1.08 bilion disebabkan sekatan pergerakan menjejaskan pembangunan tapak projek.

 

Di sebalik prestasi kurang memberangsangkan itu, SP Setia masih mampu mencatat jualan berjumlah RM3.38 bilion setakat suku ketiga itu, hampir 89% daripada sasaran jualan tahunan sebanyak RM3.8 bilion.

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Lum Joe Shen menyemak turun pendapatan bagi FY21 sebanyak 33% kepada RM130 juta disebabkan margin keuntungan operasi yang lemah dan sumbangan daripada usaha sama bagi projek Battersea yang lebih rendah.

 

"Bagaimanapun, kami mengekalkan anggaran bagi FY22, di sebalik pendapatan tidak menentu sebanyak RM509 juta.

 

"Ini disebabkan 2 projek di Melbourne (Uno dan Sapphire) yang akan dikira sumbangan hasilnya apabila siap dan kumpulan menyelesaikan penjualan tanah di Johor Bahru bernilai RM236 juta kepada Scientex Bhd.," jelasnya.

 

Firma itu turut menyemak turun penarafan saham SP Setia kepada 'underperform' daripada 'market perform' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.19. 

 

Ia berikutan kenaikan harga sahamnya sejak beberapa bulan kebelakangan ini di sebalik kekurangan pemangkin penarafan semula yang meyakinkan dengan petunjuk data permintaan yang lebih kukuh.

 

"Sebagai salah satu pemaju hartanah terbesar di Malaysia, kami melihat SP Setia sebagai proksi dalam prospek sektor yang akan berdepan cabaran dalam tempoh terdekat dan sederhana, yang turut diselubungi dengan isu dasar, mampu milik dan lebihan bekalan," katanya. 

 

Setakat 10.01 pagi ini, harga saham SP Setia susut 3 sen atau 2.17% kepada RM1.35 dengan 178,800 saham diniagakan. - DagangNews.com