Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Jan. - Kadar inflasi dijangka bertambah baik tahun ini setelah mengakhiri 2020 dengan deflasi 1.4% yang direkodkan pada Disember.
Menurut UOB Global Economics & Markets Research, kadar inflasi akan kembali positif pada suku pertama dan berlegar pada 2.1% tahun ini.
"Unjuran lebih baik ini berdasarkan kepada pemulihan ekonomi yang lebih baik apabila langkah-langkah sekatan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 semakin berkurangan pada suku ketiga tahun ini.
"Selain itu, Malaysia juga akan mula melancarkan program vaksinasi secara berfasa bagi tempoh 12 bulan dengan kumpulan pertama akan menerimanya pada awal Mac," katanya dalam nota kajian.
Program vaksinasi ini akan diperluaskan kepada lebih 80% populasi atau merangkumi hampir 27 juta penduduk di negara ini menjelang suku pertama 2022.
Menurut firma itu, harga minyak juga kekal berlegar melebihi AS$50 setong berikutan jangkaan pemulihan ekonomi global oleh negara ekonomi utama, Amerika Syarikat dan China.
"Pada masa sama, perbandingan asas rendah tahun lalu akan memberi peningkatan yang lebih baik kepada inflasi utama tahun ini," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan kadar inflasi lebih tinggi iaitu 2.5% dengan sebahagian besarnya didorong pemulihan harga minyak global.
"Tetapi, inflasi asas dijangka kekal lemah, justeru kami berpendapat bank pusat kemungkinan mempertimbangkan untuk mengurangkan kadar faedah.
"Keadaan ini mengambil kira situasi pandemik jika memerlukan langkah-langkah kawalan yang lebih ketat, sekali gus memberi risiko kepada pertumbuhan ekonomi," katanya.
Berdasarkan prospek pertumbuhan yang masih kekal samar disebabkan ketidaktentuan pandemik dan cabaran pengagihan vaksin, firma itu mengekalkan jangkaan BNM akan mengurangkan 25 mata asas bagi kadar dasar semalaman (OPR) kepada serendah 1.50% pada suku pertama ini.
Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun 1.4% pada Disember 2020 kepada 120.6 berbanding 122.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan IHP keseluruhan itu disebabkan oleh penurunan indeks Pengangkutan (-8.4%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain
(-3.3%); Pakaian & Kasut (-0.4%); Restoran & Hotel (-0.2%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1%) yang menyumbang 48.6% daripada keseluruhan wajaran.
Ini menjadikan keseluruhan inflasi bagi 2020 berada pada -1.1%, kali pertama negara merekodkan inflasi negatif selepas 1969, yang mana pada tahun berkenaan inflasi utama jatuh 0.4%.
"Seperti dijangka, inflasi utama kekal merekodkan deflasi bagi tempoh 10 bulan berturut-turut, kesan daripada pandemik COVID-19 yang berterusan," jelas AmBank Research dalam nota kajian.
Menurut firma itu, bagaimanapun, inflasi utama menyeluruh dijangka kembali normal tahun ini.
Keadaan ini akan disokong oleh pemulihan pertumbuhan dan perdagangan global, serta pakej rangsangan berjumlah RM340 bilion.
"Pada masa sama, indeks harga pengeluar (PPI), yang kini berada pada purata -2.7% bagi tempoh 11 bulan pertama, juga meraih momentum apabila kos input yang rendah akan meningkatkan harga komoditi.
"Ini akan menyaksikan inflasi utama berlegar sekitar 1.9 hingga 2.1%," katanya. - DagangNews.com