KUALA LUMPUR 9 Dis - Bilangan penganggur berkurangan 0.5% kepada 602,000 pada Oktober berbanding 605,000 pada bulan sebelumnya, menurun ke paras terendah sejak pandemik COVID-19, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam data terkininya.
Pada bulan tersebut, kadar pengangguran kekal pada 3.6%, iaitu 0.3 mata peratus lebih tinggi berbanding Februari 2020.
Bilangan tenaga buruh terus bertambah, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2% merekodkan 16.68 juta orang manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) Oktober kekal pada 69.7%.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi tenaga buruh yang optimistik pada Oktober 2022 mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil, hasil daripada aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan.
Ini ditambah dengan sokongan polisi yang berterusan bagi mengatasi kesan peningkatan kos sara hidup dan mengurangkan risiko negatif yang berkaitan dengan pergolakan geopolitik yang berlarutan dan mengukuhkan kedudukan kewangan luar.
Selain itu, pelancongan domestik dan antarabangsa juga dirangsang oleh peningkatan ketibaan pelancong di kebanyakan negara termasuk Malaysia.
"Sektor ekonomi lain dalam negara juga mengalami momentum yang menggalakkan hasil daripada situasi ekonomi semasa, justeru, lebih banyak tenaga buruh diperlukan dalam pasaran bagi menyokong keseluruhan aktiviti perniagaan yang menggalakkan.
"Pasaran buruh bertambah baik pada Oktober 2022, dengan lebih ramai penduduk bekerja dan penganggur yang semakin berkurangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja berterusan pada Oktober, dengan pertambahan bulan ke bulan sebanyak 0.2% kepada 16.08 juta orang (September 2022: 16.05 juta orang).
Pada bulan tersebut, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga, tidak berubah iaitu pada 67.2% berbanding bulan sebelumnya. - DagangNews.com