Penganjuran GO ESG ASEAN 2021 sasar lebih 2,000 peserta | DagangNews Skip to main content

Penganjuran GO ESG ASEAN 2021 sasar lebih 2,000 peserta

 

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Rantau ASEAN bersedia memainkan peranan kepimpinan dalam pembangunan lestari, jika ia dapat mempercepatkan penerapan tindakan lestari menjadi kelaziman memandangkan ekonomi semakin pulih.

 

Untuk mencapai hasrat ini, sektor swasta ASEAN mesti menyesuaikan strategi, struktur dan proses mereka agar bersedia untuk menghadapi risiko kelestarian yang tidak dapat dielakkan pada masa depan. 

 

Hal ini juga membolehkan sektor swasta ASEAN memanfaatkan peluang ekonomi hijau dianggarkan bernilai AS$1 trilion untuk rantau ini.

 

Untuk mengubah syarikat-syarikat yang berkenaan ke arah sasaran ini, GO ESG ASEAN 2021, persidangan maya selama 2 hari yang dianjurkan oleh UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) akan diadakan pada 24 dan 25 November 2021. 

 

Matlamat persidangan ini adalah untuk membangkitkan kesedaran, membolehkan aktiviti rangkaian, mengenal pasti amalan terbaik dan mempamerkan pendekatan inovatif dalam pelaburan kelestarian.

 

Dengan tema, 'Mencapai Kelestarian di ASEAN : Mempertingkatkan Hasrat SDG Perniagaan dan Mengetengahkan Pembiayaan Lestari' persidangan tahun ini akan menawarkan pemahaman yang lebih mendalam dan mempamerkan tindakan amalan terbaik daripada pemimpin ASEAN dan global.

 

Lebih 2,000 peserta dari seluruh rantau ini dijangka menghadiri GO ESG ASEAN 2021, yang akan menampilkan lebih daripada 30 penceramah dan panelis global dan serantau melalui platform maya yang menarik dan interaktif.

 

Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar berkata, seiring dengan usaha dunia menuju ke arah kelestarian, rantau ini juga perlu mencari keseimbangan di antara pragmatisme dan harapan dalam konteks ekonomi membangun. 

 

Katanya, hala tuju ASEAN ke arah masa depan yang lestari tidak menyerupai rantau lain di dunia, memandangkan faktor pembangunan sosial dan ekonomi sangat berbeza. 

 

"Namun, ini memberi peluang kepada perniagaan di ASEAN untuk membuka jalan baharu menuju masa depan yang lestari dengan mempercepatkan inovasi dan membolehkan ekosistem pembiayaan lestari yang kondusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Persidangan ini juga akan melibatkan bahagian ASEAN bagi siri Forum Pelaburan SDG PBB yang mempromosikan platform ‘Financing the Green’, bertujuan untuk berkongsi pelbagai peluang pembiayaan lestari di rantau ini untuk mempercepatkan peralihan ke ekonomi hijau.

 

Acara GO ESG ASEAN tahun ini, yang memasuki tahun kedua, telah menampakkan permulaan memberangsangkan dengan penglibatan Sarawak Energy Berhad, Tata Consultancy Services (TCS Malaysia), Bloomberg dan Bursa Malaysia Berhad sebagai rakan kongsi dan penceramah. - DagangNews.com