Pengarah bebas MGRC mulakan tindakan undang-undang terhadap pengarah dan pengurusan | DagangNews Skip to main content

Pengarah bebas MGRC mulakan tindakan undang-undang terhadap pengarah dan pengurusan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - Pengarah bebas bukan eksekutif Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC), Aswath Ramakrishnan memulakan tindakan undang-undang terhadap pengarah individu dan pengurusan syarikat atas dakwaan pelanggaran kewajipan fidusiari dalam urus niaga antara syarikat dan anak syarikatnya dengan pihak luar.

 

Pada 26 Oktober, Aswath memberi notis kepada MGRC mengenai rancangannya bagi memohon kebenaran memulakan prosiding derivatif terhadap pengarah individu dan pengurusan syarikat, atas dakwaan pelanggaran tugas fidusiari.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, MGRC berkata, pihaknya menerima saman pemula yang difailkan terhadap syarikat itu di Mahkamah Tinggi Malaya, Shah Alam melalui peguam cara Aswath, Tetuan Ahmad Deniel Ruben & Co, pada 30 Oktober 2023.

 

MGRC berkata, selain daripada potensi kos yang mungkin diberikan terhadap MGRC dan kos undang-undang yang sepadan, kos lain berhubung di sana masih belum ditentukan.

 

"Syarikat akan mendapatkan nasihat undang-undang yang diperlukan daripada peguam cara berhubung saman pemula yang difailkan oleh pemohon," kata kumpulan itu.

 

Aswath, 37, dilantik menganggotai lembaga MGRC pada 10 Mei 2023.

 

Beliau adalah seorang peguam berpengalaman yang terlibat dalam litigasi komersial dan perkapalan dan maritim, antara lain.

 

Aswath memulakan kerjaya undang-undangnya dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Hague, Belanda pada 2012. - DagangNews.com