Pengarah Eksekutif, CEO Aman Palestin mengaku tidak bersalah 52 pertuduhan pecah amanah | DagangNews Skip to main content

Pengarah Eksekutif, CEO Aman Palestin mengaku tidak bersalah 52 pertuduhan pecah amanah

Abdullah Zaik Abdul Rahman, bersama CEO Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, didakwa melakukan jenayah pecah amanah atas kapasiti mereka sebagai pengarah kepada syarikat Samudra Champa Sdn Bhd yang diberikan amanah atas harta milik Aman Palestin./Gambar Malay Mail/ Yusof Mat Isa

KUALA LUMPUR 15 Feb - Dua individu yang merupakan pengurusan tertinggi Aman Palestin Bhd (Aman Palestin), hari ini mengaku tidak bersalah dan selepas dihadapkan dengan 52 pertuduhan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK).

 

Jumlah dana yang terlibat dalam pertuduhan tersebut berjumlah lebih RM20 juta.

 

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Pengarah Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, bersama Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit, Awang Suffian Awang Piut, didakwa melakukan jenayah pecah amanah atas kapasiti mereka sebagai pengarah kepada syarikat Samudra Champa Sdn Bhd yang diberikan amanah atas harta milik Aman Palestin.

 

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 12 Mac 2018 hingga 3 November tahun lalu di Maybenk cawangan Bandar Baru Bangi, Selangor.

 

Selepas pertuduhan dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju agar kadar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM1 juta.

 

Separuh daripada jumlah itu akan dibayar kepada mahkamah hari ini, manakala bakinya mesti dijelaskan sebelum 14 Mac depan.

 

Hakim Datuk Anita Harun kemudian menetapkan 14 Mac sebagai tarikh untuk sebulan kes tersebut.

 

Sementara itu, Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga didakwa secara bersama bagi 19 pertuduhan lain mengikut Seksyen 420 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, sebat dan denda.

 

Mereka didakwa dengan curangnya memperdayakan Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin untuk menyerahkan wang RM39,150,000 kepada syarikat Samudra Champa. 

 

Ia bagi pembelian emas sedangkan harga pembeliannya lebih rendah iaitu RM33,399,970 yang mana Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin Berhad tidak akan menyerahkan wang jika tidak diperdayakan sedemikian oleh kedua-dua tertuduh.

 

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan berkenaan di pejabat Aman Palestin di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, antara 24 September 2021 hingga 14 Julai 2023.

 

Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga masing-masing berdepan 19 pertuduhan lagi sebagai pengarah syarikat terbabit menggunakan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM12,833,772.16.

 

Ia sebagai bayaran bagi pembelian sebuah rumah, rumah kedai, lot tanah, lot kedai, kilang pejabat berkembar dan sebuah kereta Toyata Vellfire bagi pihak Samudra Champa.

 

Turut didakwa, pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49 yang didakwa atas tiga tuduhan menggunakan hasil aktiviti haram membabitkan wang RM6,038,016.60 sebagai bayaran bagi pembelian lot kedai, rumah kedai dan kilang pejabat berkembar.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa bank di Bandar Baru Bangi dan Kajang, antara 1 Jun 2018 hingga 3 Mei 2023.

 

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

 

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

 

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Siti Mardhiyyah Zamani ketika prosiding hari ini.- DagangNews.com