KUALA LUMPUR 1 April - Prospek industri sarung tangan getah dilihat masih tidak menentu meskipun Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) optimis Malaysia akan mengekalkan kedudukan sebagai negara pengeluar sarung tangan getah nombor satu dunia pada 2022.
Malah, persatuan itu turut mengunjurkan eksport sarung tangan getah meningkat 12% hingga 15% dengan Malaysia dijangka membekalkan sebanyak 65% atau 294 bilion sarung tangan daripada bekalan global tahun ini.
Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Sophie Chua Siu Li berkata, ketidaktuan yang dihadapi oleh pengeluar sarung tangan getah masih membimbangkan dan situasi itu tidak mungkin berakhir dalam tempoh yang singkat.
Katanya, ini terutamanya disebabkan harga jualan purata (ASP) yang lemah disebabkan persaingan sengit dan kos pengeluaran yang tinggi.
"Disebabkan persaingan yang semakin sengit, kami berpendapat, ia juga memberi cabaran kepada pengeluar sarung tangan untuk meneruskan sepenuhnya peningkatan kos, justeru, ini mungkin membawa kepada pemampatan margin.
"Oleh itu, dengan mengambil kira faktor negatif ini, kami menyemak turun penarafan sektor ini kepada 'underweight' daripada 'neutral' sebelum ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sejajar dengan semakan semula sektor, HLIB turut menyemak turun saranan Kossan Rubber Industries Bhd. kepada 'jual' daripada 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) pada RM1.53.
Sebaliknya, ia mengekalkan saranan 'jual' terhadap Top Glove Corp Bhd. dengan TP RM1.33 manakala 'pegang' bagi Hartalega Holdings Bhd. dengan TP RM5.05.
Menurut Siu Li, walaupun MARGMA positif dengan peningkatan penggunaan sarung tangan getah dalam industri bukan perubatan akan membantu meningkatkan permintaan, tetapi ia dijangka tidak menyumbang dengan ketara.
"Ini kerana kami menjangkakan segmen perubatan akan terus kekal mendominasi keseluruhan permintaan sarung tangan getah," jelasnya.
Mengenai pekerja asing dalam sektor tersebut, kaji selidik yang dijalankan akhir 2021 mendapati ia mengambil kira-kira 40,000 pekerja asing, merangkumi 1.7% daripada jumlah pekerja asing yang didokumenkan dan tidak didokumenkan di Malaysia.
"Dengan pembukaan semula pasaran buruh kepada tenaga kerja asing, kami menyedari bahawa pengeluar sarung tangan getah telah mengemukakan permohonan untuk membawa masuk lagi 30,000 pekerja asing dalam sektor ini.
"Namun begitu, industri ini kekal komited untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja buruh dengan melaksanakan lebih banyak automasi dalam proses pembuatan," tambahnya. - DagangNews.com