Pengeluar sarung tangan Malaysia ada kelebihan berbanding China - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pengeluar sarung tangan Malaysia ada kelebihan berbanding China - MIDF

Pengeluar sarung tangan Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mac. - Syarikat pengeluar sarung tangan getah di Malaysia dilihat mempunyai sedikit kelebihan berbanding pengeluar di negara China.

 

Penganalisis Ekuiti MIDF, Ng Bei Shan berkata, produk sarung tangan getah dari Malaysia memiliki kualiti yang lebih baik hasil pengalaman lebih daripada 30 tahun syarikat pengeluar di Malaysia.

 

"Syarikat sarung tangan Malaysia telah menghasilkan sarung tangan selama lebih dari 30 tahun dan mereka telah melakukan banyak usaha penyelidikan dan pembangunan.

 

"Selain itu, lokasi Malaysia yang lebih dekat dengan pengeluar getah asli yang merupakan salah satu bahan mentah utama sarung tangan getah asli," jelasnya kepada DagangNews.com.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, harga gas yang jauh lebih murah di Malaysia berbanding China turut menjadi kelebihan.

 

Selain itu, pengeluar China juga harus mendepani dan mengatasi faktor cuaca dalam proses pengeluaran produk berkenaan.

 

"Justeru, potensi China dalam merampas kedudukan Malaysia sebagai pembekai utama produk sarung tangan getah perlu mengambil kira faktor-faktor tersebut," katanya lagi.

 

Baru-baru ini, terdapat satu laporan yang menyatakan China bakal merampas kedudukan Malaysia selaku pembekal produk sarung tangan getah utama dunia menjelang lima tahun akan datang.

 

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) yang memberitahu negara China perlu mengambil masa lebih lama untuk muncul sebagai pengeluar terbesar dunia.

 

Baca: Sektor sarung tangan getah terancam?

 

Di Malaysia katanya, kejayaan dalam membina hubungan bersama pelanggan negara luar mengambil masa lebih 15 tahun lamanya. - DagangNews.com