Pengeluaran buah tandan segar Kim Loong diunjur meningkat sekurang-kurangnya 5% pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran buah tandan segar Kim Loong diunjur meningkat sekurang-kurangnya 5% pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - Apex Security  mengunjurkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) Kim Loong Resources Bhd meningkat sekurang-kurangnya 5% lebih tinggi pada FY25.

 

Katanya, kumpulan itu juga menjangkakan sumbangan positif kepada hasil dan keuntungan daripada loji biogas di Telupid, Sabah bermula FY25 dan seterusnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengukuhan harga minya sawit mentah (MSM) seterusnya pada purata RM4,000 bagi setiap tan kerana pengeluaran pengeluarannya dijangka tidak berubah manakala stok minyak sawit diunjur susut dengan ketara di bawah ambang 2 juta tan.

 

"Kejatuhan inventori itu disokong oleh peningkatan permintaan untuk minyak sawit, didorong oleh penggunaan musim perayaan serta peningkatan permintaan biodiesel," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih bagi 4QFY24 kumpulan turun 32.09% kepada RM24.87 juta, daripada RM36.61 juta setahun lalu, berikutan harga MSM yang lebih lemah.

 

Ini merupakan pendapatan suku tahunan paling lemah dalam tiga tahun sejak 4QFY21 apabila ia menghasilkan keuntungan bersih RM10 juta.

 

Bagi tahun penuh, untung bersih susut 8.97% kepada RM147.71 juta daripada RM162.26 juta setahun sebelumnya, berikutan hasil tahun penuh susut 20.02% kepada RM1.53 bilion daripada RM1.91 juta.

 

Apex Security berkata, prestasi yang lebih lemah ini disebabkan penurunan mendadak dalam purata harga jualan (ASP) kedua-dua BTS dan MSM. Begitu juga, hasil berjumlah RM1.9 bilion susut 15.4% dari suku tahun ke suku tahun dan 20% dari tahun ke tahun.

 

Katanya, sumbangan segmen perladangan kepada pendapatan kumpulan susut 19% dari tahun ke tahun kerana penurunan dalam ASP BTS sebanyak 23% mengatasi pemulihan dalam pengeluaran BTS iaitu peningkatan 15%. 

 

"Bagaimanapun, keuntungan operasi kilang minyak sawit kekal tidak berubah kerana permintaan untuk produk pengilangan kumpulan kekal stabil," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.05 sesaham. - DagangNews.com