Pengeluaran buah tandan segar TH Plantations dijangka susut 7% bagi FY22 ekoran masalah kekurangan pekerja | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran buah tandan segar TH Plantations dijangka susut 7% bagi FY22 ekoran masalah kekurangan pekerja

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Nov - Maybank Investment Bank (IB) mengekalkan saranan 'pegang' terhadap TH Plantations Bhd. setelah mengambil kira pemangkin yang terhadap terhadap harga sahamnya. 

 

Ini mendorong firma itu untuk mengekalkan harga sasarannya tidak berubah pada 55 sen sesaham. 

 

Namun, ia menjangkakan hasil pada suku keempat akan meningkat berikutan perbelanjaan baja yang lebih rendah dan jualan lebih baik.

 

Katanya, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) pada suku ketiga adalah selaras memandangkan kumpulan mempercepatkan aktiviti baja pada suku tersebut (kos yang lebih tinggi) ekoran ketibaan musim tengkujuh manakala jualan di bawah jumlah pengeluaran (iaitu penyimpanan stok).

 

"Dengan menghentikan aktiviti pembajaan pada Oktober, ia menyaksikan kos baja yang dibelanjakan akan menjadi lebih rendah pada suku keempat.

 

"Inventori yang dibawa ke hadapan berkemungkinan besar dapat dijana pada suku berkenaan, secara tidak langsung meningkatkan hasil dan keuntungan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Untung bersih TH Plantations susut 46.4% kepada RM14.37 juta

 

Untung bersih TH Plantations susut 46.4% kepada RM14.37 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada RM28.81 juta tahun lepas, akibat kerugian nilai saksama pada aset biologi.

 

Perolehan kumpulan bagi suku tersebut meningkat 3.66% kepada RM213.39 juta berbanding RM205.87 juta berikutan harga realisasi purata yang lebih tinggi untuk minyak sawit mentah walaupun volum pengeluaran sedikit lebih rendah.

 

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, TH Plantations mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM45.71 juta, turun 33.1% daripada RM68.34 juta yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, berdasarkan nilai saksama kerugian ke atas aset biologi sebanyak RM16.93 juta berbanding keuntungan nilai saksama sebanyak RM42.53 juta.

 

Maybank IB berkata, pengeluaran buah tandan segar kumpulan pada suku ketiga mencatat pertumbuhan 31% bagi suku ke suku, berbanding tahun lalu, ia 1% lebih tinggi. 

 

Ini menjadikan pengeluaran buah tandan segar bagi tempoh sembilan bulan tahun ini susut 6% tahun ke tahun kepada 487,449 tan metrik, memenuhi 75% daripada anggaran firma itu bagi tahun kewangan penuh.

 

"Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), kekurangan penuai (pekerja) akan menyaksikan pengeluaran buah tandan segar susut 7% tahun ke tahun.

 

"Namun, kumpulan yakin masalah kekurangan buruh yang dialaminya dapat diselesaikan menjelang awal 2023," katanya. 

 

Setakat 10.59 pagi ini, harga saham TH Plantations kekal tidak berubah pada 50.5 sen sesaham. -DagangNews.com