KUALA LUMPUR 10 Okt - Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 9.7% kepada 31,309 tan metrik pada Ogos 2023 berbanding 28,533 tan pada Julai 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan penurunan 16.9% berbanding 37,666 tan pada Ogos 2022.
"Pengeluaran getah asli Malaysia pada Ogos 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (83.3%) berbanding sektor estet (16.7%)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut DOSM, jumlah stok getah asli pada Ogos 2023 menurun 0.8% kepada 142,620 tan berbanding 143,757 tan pada Julai 2023.
Katanya, kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.1%, diikuti dengan kilang pengguna getah (11.75) dan estet getah (0.2%).
"Eksport getah asli Malaysia berjumlah 57,488 tan pada Ogos 2023 meningkat 11% berbanding Julai 2023 iaitu 51,784 tan.
"China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli berjumlah 47.9% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Ogos 2023, diikuti Jerman (8.7%), Iran (4%), Amerika Syarikat (2.9%) dan Pakistan (2.7%)," katanya.
DOSM berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
Katanya, produk sarung tangan getah adalah eksport utama dengan nilai sebanyak RM1 bilion pada Ogos 2023, meningkat 9.4% berbanding RM0.96 bilion pada Julai 2023.
Sementara itu, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan iaitu 3.9% bulan ke bulan kepada 471.09 sen sekilogram pada Ogos 2023 daripada 471.09 sen sekilogram pada Julai 2023.
Manakala, sekerap menurun 1.9% kepada 462.05 sen sekilogram pada Ogos 2023 berbanding 471.14 sen sekilogram pada Julai 2023. Harga bagi semua Getah Mutu Malaysia (GMM) pula menyusut antara 0.7% hingga 3.9%.
Menurut laporan Malaysia Rubber Board Digest pada Ogos 2023, harga harian SMR 20 dalam pasaran getah Kuala Lumpur bergerak dengan momentum meningkat pada akhir Ogos 2023 berbanding 31 Julai 2023.
"Senario ini disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan langkah terbaharu yang diumumkan oleh China untuk memulihkan ekonomi telah meningkatkan sentimen pasaran," kata DOSM. - DagangNews.com