Pengeluaran getah asli Malaysia susut 11.8% kepada 28,048 tan bagi November 2022 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia susut 11.8% kepada 28,048 tan bagi November 2022 - DOSM

KUALA LUMPUR 13 Jan - Pengeluaran getah asli Malaysia susut 11.8% kepada 28,048 tan pada November 2022 daripada 31,795 tan yang direkodkan bagi Oktober 2022. 

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan berkata, Perangkaan Getah Bulanan Malaysia, November 2022, perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan 8% daripada 30,493 tan yang dicatatkan pada November 2021.

 

Perangkaan itu memaparkan statistik pengeluaran, import, eksport, penggunaan domestik, stok, harga, bilangan pekerja, gaji dan upah serta produktiviti bagi estet getah.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli bagi November 2022 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 87.2% manakala sektor estet pula sebanyak 12.8%.

 

“Jumlah stok getah asli pada November 2022 turun 1.4% kepada 195,353 tan daripada 198,181 tan pada Oktober 2022. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.4% diikuti kilang pengguna getah sebanyak 9.5% dan estet getah pada 0.1%,” katanya , lapor Bernama.

 

Menurut DOSM, eksport getah asli Malaysia meningkat 23.0% kepada 51,104 tan pada November 2022 daripada 41,548 tan pada Oktober 2022.

 

getah

 

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli dengan jumlah 54.3% daripada jumlah keseluruhan eksport pada November 2022 diikuti Amerika Syarikat (3.6%), Jerman (2.8%), Turkiye (2.2%) dan Brazil (1.8%), tambah jabatan itu.

 

Mohd Uzir berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

 

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.10 bilion pada November 2022, turun 5.0% daripada RM1.13 bilion yang dicatatkan bagi Oktober 2022,” katanya.

 

DOSM memaklumkan, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 1.3% kepada 472.58 sen sekilogram bagi November 2022 daripada 466.42 sen sekilogram bagi Oktober 2022.

 

Harga sekerap pula susut 5.9% kepada 443.36 sen sekilogram bagi November 2022 daripada 471.29 sen sekilogram yang dicatatkan Oktober 2022.

 

DOSM menambah, harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula adalah dalam keadaan bercampur-campur iaitu turun 3.8% serta meningkat 1.3%.

 

Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing susut 1.4% (daripada AS$1.29 sekilogram kepada AS$1.27 sekilogram) serta kurang 4.3% (daripada AS$1.50 sekilogram kepada AS$1.43 sekilogram).

 

Menurut DOSM, berdasarkan laporan analisis arah aliran pasaran getah asli yang diterbitkan oleh Konsortium Getah Antarabangsa (IRCo) pada 14 Disember 2022 menyatakan, pengeluaran mungkin tidak meningkat "pada skala besar" dalam beberapa bulan akan datang di tiga negara pengeluar utama Thailand, Indonesia dan Malaysia.

 

“Ini disebabkan terutama oleh penyebaran penyakit daun, keadaan cuaca yang tidak menentu, peningkatan suhu iklim serta input baja yang rendah disebabkan oleh kos yang tinggi.

 

“Situasi kemarau di rantau ini dan keengganan untuk meneruskan aktiviti penorehan kerana harga getah asli yang rendah memberi kesan kepada pengeluaran,” tambahnya.

 

Jabatan itu menjelaskan menurut IRCo lagi, berkemungkinan perkara ini akan berlaku di Indonesia dan Malaysia, yang menjejaskan keseluruhan pengeluaran getah asli di rantau ini sebanyak kira-kira 10% pada separuh pertama 2023.

 

IRCo terus mengunjurkan peningkatan dalam ekonomi global dan keredaan peningkatan perang Rusia-Ukraine dalam tempoh 12 bulan akan datang, tambah DOSM.

 

DOSM memaklumkan, memetik statistik terkini daripada Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC), laporan itu menjangkakan pengeluaran pada tahun 2022 mencecah 14.343 juta tan.

 

“Penggunaan yang akan berlaku dijangka pada 14.805 juta tan, pasaran global ditetapkan untuk (mencatatkan) defisit 462,000 tan bagi tahun lepas. Tambahan pula, pengeluaran getah asli di Thailand dijangka lebih rendah semasa musim sejuk pada April, Mei dan Jun 2023,” tambah jabatan itu. - DagangNews.com