KUALA LUMPUR 22 Mac – Langkah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan pencarum mengeluarkan RM10,000 dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) harus menjadi terakhir dan penamat.
Felo Kanan, Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata, dalam jangka panjang, perlu ada perundingan yang lebih meluas antara kerajaan dengan majikan dan pekerja tentang cara terbaik untuk membantu mereka yang terkesan oleh pandemik COVID-19.
“Ini dengan mengambil kira trend yang semakin meningkat bagi individu untuk bekerja sendiri atau berkontrak sahaja.
“Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, banyak kerajaan di seluruh dunia telah membenarkan pencarum pekerja mengeluarkan sebahagian daripada perbelanjaan lain yang diperlukan, seperti bil perubatan dan pembelian rumah, sebelum bersara,” katanya kepada DagangNews.Com hari ini.
Dr Oh berkata, berikutan pandemik baru-baru kebanyakan negara dan rakyat masing-masing, tidak terkecuali Malaysia telah mengharungi cabaran sosioekonomi yang begitu teruk.
“Kita telah menghadapi cabaran yang luar biasa dan tidak dijangka kepada negara secara keseluruhan, sekali gus mengurangkan pendapatan di mana terdapat individu yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan normal mereka berkurangan,” katanya.
Dr Oh merujuk kepada pengumuman yang dibuat perdana menteri baru-baru ini untuk membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan simpanan mereka sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.
Ismail Sabri berkata, walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana membabitkan simpanan hari tua rakyat, pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.
Dr Oh berkata, KWSP secara konvensional bertujuan untuk menyediakan nafkah pekerja bagi perbelanjaan sara hidup mereka selepas bersara.
Sementara itu, ibu kepada empat orang anak Noor Diana Ahmad berkata beliau bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana membenarkan pencarum keluarkan simpanan KWSP mereka.
“Saya amat terharu atas keprihatinan kerajaan kerana saya memang perlukan wang modal untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menampung kehidupan yang lebih mencabar ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Pengeluaran khas KWSP bantu rancakkan aliran tunai dalam pasaran - Penganalisis Ekonomi
‘’Bagi mereka yang tidak mendesak keperluan wang sekarang, tidak perlulah keluarkan caruman mereka.
‘’Dan mereka juga tidak seharusnya membangkang untuk kami yang memerlukannya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” ujar Noor Diana. – DagangNews.Com