Pengembangan skala operasi, PublicInvest positif terhadap prospek Critical Holdings | DagangNews Skip to main content

Pengembangan skala operasi, PublicInvest positif terhadap prospek Critical Holdings

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - Public Investment Bank Research (PublicInvest) positif terhadap prospek Critical Holdings Berhad didorong pengembangan skala operasinya serta pertambahan tenaga kerjanya.

 

Kumpulan itu menyediakan rumusan reka bentuk dan kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan proses (MEP) yang merangkumi pengurusan dan pemasangan selain melaksanakan penyelenggaraan serta sokongan perkhidmatan bagi memastikan peralatan dan sistem MEP yang sedia ada berfungsi dengan baik.

 

Critical Holdings merancang untuk menjana RM26 juta selepas penyenaraiannya pada 18 Disember ini dan menggunakannya bagi menubuhkan pejabat wilayah baharu dalam tempoh 24 bulan. 

 

Kemudahan itu dijangka mempunyai 1,500 kaki persegi kemudahan ujian bagi peralatan dan sistem MEP sebelum penempatan sebenar di tapak projek.

 

Dana juga akan digunakan untuk mengembangkan pasukan jualan dan teknikal untuk menyokong pertumbuhan yang dijangkakan dalam perniagaan.

 

PublicInvest berkata, kumpulan itu dijangka mengambil 51 pekerja tambahan dalam tempoh 24 bulan akan datang bagi mendapatkan juruteknik yang boleh melaksanakan kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan peringkat kedua.

 

Katanya, kumpulan itu mempunyai potensi kukuh kerana rumusan kejuruteraan MEP yang komprehensif, standard kualiti tinggi, pengurusan yang baik dan rangkaian pelanggan yang luas.

 

"Rumusan kejuruteraan MEP kumpulan itu adalah penting bagi kemudahan dengan fungsi kritikal, menyediakan infrastruktur yang berdaya tahan untuk perkhidmatan penting tanpa gangguan, memastikan perniagaan dan fungsi operasi yang cekap dan berterusan," kata firma penyelidikan dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu secaraaktif mencari peluang untuk lebih banyak projek kejuruteraan MEP yang berada pada skala yang lebih besar pada masa hadapan.

 

Bagi pengguna akhirnya, firma penyelidikan itu berkata, Critical Holdings melayani banyak industri termasuk semikonduktor, farmaseutikal, pembuatan panel fotovoltaik solar serta pusat data, perkhidmatan kolokasi, telekomunikasi, hotel dan kemudahan perubatan. - DagangNews.com