Pengendali takaful bayar tuntutan perlindungan bernilai RM8.74 bilion pada 2023 - MTA | DagangNews Skip to main content

Pengendali takaful bayar tuntutan perlindungan bernilai RM8.74 bilion pada 2023 - MTA

Pengendali takaful membayar tuntutan perlindungan berjumlah RM8.74 bilion pada 2023, meningkat 24.4% berbanding RM7.03 bilion pada tahun sebelumnya. - Gambar Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Pengendali takaful membayar tuntutan perlindungan berjumlah RM8.74 bilion pada 2023, meningkat 24.4% berbanding RM7.03 bilion pada tahun sebelumnya, bagi menyokong rakyat pada masa mereka memerlukan. 

 

Menurut Persatuan Takaful Malaysia (MTA), pengendali Takaful Keluarga telah membayar sebanyak RM6.79 bilion, menggariskan komitmen mereka untuk melindungi keluarga di seluruh negara. 

 

Katanya, pengendali Takaful Am pula telah mengeluarkan jumlah tuntutan sebanyak RM1.95 bilion. 

 

"Peningkatan pembayaran sebanyak 24.40% ini menunjukkan kepekaan industri takaful terhadap keperluan pemegang sijil dan berdedikasi untuk meringankan beban rakyat pada kadar segera.

 

"Pembayaran ini disokong oleh sumbangan kasar perniagaan berkuat kuasa Takaful Keluarga yang meningkat sebanyak 7.55% kepada RM8.97 bilion, berbanding RM8.34 bilion pada 2022. 

 

"Bilangan sijil berkuat kuasa pada tahun 2023 stabil pada 6.60 juta, berbanding 6.63 juta sijil berkuat kuasa yang direkodkan pada tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

MTA berkata, sepanjang 2023, pengendali Takaful Keluarga menambah 1.13 juta sijil baharu dengan caruman kasar sebanyak RM9.59 bilion tetapi tidak dapat mencapai 1.31 juta sijil baharu dan caruman kasar RM10.06 bilion yang didaftarkan pada 2022.

 

 

MTA
Elmie Aman Najas

 

 

Katanya, walaupun jumlahnya lebih rendah sedikit berbanding tahun sebelumnya, ia masih memberi kesedaran dan kepercayaan yang berterusan terhadap perlindungan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Pengerusi MTA, Elmie Aman Najas berkata, kepentingan dan manfaat takaful semakin mendapat sambutan seperti yang dibuktikan oleh bilangan sijil berkuat kuasa yang konsisten berikutan tahun yang kukuh untuk sijil baharu pada tahun sebelumnya. 

 

Beliau berkata, ia menandakan bahawa peserta takaful terus memenuhi kewajipan dalam memberi sumbangan mereka, mempunyai kesedaran yang berterusan terhadap perancangan kewangan serta pengekalan dalam kalangan pemegang peserta takaful. 

 

Katanya, inisiatif kesedaran yang meluas diterjemahkan kepada hasil yang ketara yang mana produk takaful terus menjadi pilihan utama.

 

"Dari segi prestasi, data tiga tahun menunjukkan normalisasi dalam industri pada 2023, selepas setahun pertumbuhan kukuh pasca-pandemik pada 2022.

 

"Kadar penembusan Takaful Keluarga pada tahun 2023 kekal stabil pada 19.58%, walaupun populasi mencatat pertumbuhan tertinggi 10 tahun dengan peningkatan sebanyak 678,500 orang, mengatasi pertumbuhan 2022," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, trajektori perniagaan Takaful Am terus meningkat pada 2023 dengan peningkatan sebanyak 17.44% dalam sumbangan kasar kepada RM5.45 bilion daripada RM4.64 bilion. 

 

Katanya, sumbangan langsung juga mencatatkan peningkatan, sebanyak 17.40% kepada RM5.44 bilion daripada RM4.64 bilion pada tahun sebelumnya.

 

"Prestasi teguh takaful kenderaan yang berkembang sebanyak 18.7% kepada RM3.64 bilion membantu kepada peningkatan sumbangan dan kekal sebagai pemacu utama Takaful Am. Prestasi ini sejajar dengan 799,731 kenderaan bermotor baharu yang dijual pada tahun tersebut yang didorong oleh kempen promosi dan pelancaran model baharu," katanya. - DagangNews.com