Pengerusi Genting Hong Kong letak jawatan | DagangNews Skip to main content

Pengerusi Genting Hong Kong letak jawatan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 24 Jan - Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Genting Hong Kong Ltd, Tan Sri Lim Kok Thay meletakkan jawatan, hanya beberapa hari selepas syarikat itu memfailkan penggulungan perniagaannya yang menjadi keruntuhan terbesar sebuah syarikat pengendali kapal persiaran sejak pandemik bermula. 

 

Bloomberg melaporkan, dalam satu makluman kepada pasaran saham Hong Kong, Kok Thay meletakkan jawatan berkuat kuasa 21 Januari lalu, dan Au Fook Yew turut meletakkan jawatan sebagai Timbalan CEO, Presiden dan Pengarah Eksekutif.

 

"Kedua-duanya tiada perselisihan pendapat dengan lembaga pengarah dan tiada isu berkaitan peletakan jawatan berkenaan yang perlu dibawa ke perhatian pemegang saham syarikat," menurut kenyataan itu.

 

Lebih dua tahun pandemik, syarikat Kok Thay dilapor menuju ke arah pembubaran. 

 

Ia contoh yang jelas bagaimana pandemik COVID-19 telah menjadikan perniagaan yang berkembang maju satu ketika dulu kini berdepan kesukaran, sekali gus berpotensi memberi impak kepada pelanggan kapal persiaran di seluruh rantau ini.

 

Kok Thay memulakan perniagaan feri persiaran dan perjudian atas kapal di Hong Kong pada 1990-an dan menjadikannya antara pengendali kapal persiaran terbesar di Asia. 

 

Ia hasil minatnya yang mendalam, selain antara cara mempelbagaikan perniagaan kasino yang dibina oleh bapanya, Tan Sri Lim Goh Tong, di Malaysia. 

 

Di bawah Kok Thay, Genting Hong memperluaskan angkatan kapalnya, dengan membeli kapal persiaran lain selain turut mengambil alih limbungan di Jerman bagi pembinaan kapalnya.

 

Kini, selepas lebih dua tahun pandemik COVID-19, syarikat itu menuju ke arah pembubaran. Minggu lalu, Genting Hong Kong memfailkan petisyen untuk penggulungan perniagaan. 

 

Kok Thay menubuhkan syarikat kemudiannya yang menjadi Genting Hong Kong pada 1993, dengan membeli feri daripada firma kapal persiaran yang muflis untuk dikendalikan di bawah jenama Star Cruises. 

 

Seorang jurucakap Genting enggan memenuhi permintaan Bloomberg untuk menemual Kok Thay, manakala, wakil Genting Hong Kong tidak dapat memberikan kenyataan segera berhubung perkembangan berkenaan.  -DagangNews.com