Pengerusi MBSB, Tan Sri Azlan Mohd. Zainol meninggal dunia | DagangNews Skip to main content

Pengerusi MBSB, Tan Sri Azlan Mohd. Zainol meninggal dunia

Allahyarham Tan Sri Azlan Mohd. Zainol
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - Pengerusi Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Tan Sri Azlan Mohd. Zainol dilaporkan meninggal dunia pada pukul 2.40 petang pada usia 72 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

 

MBSB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Allahyarham menerajui kumpulan itu sejak Mac 2021 dengan membawa lebih 30 tahun pengalaman perbankan dengan latar belakang yang kukuh dalam perakaunan dan beliau juga merupakan Pengerusi MBSB Bank Berhad.

 

Beliau merupakan Felo Institut Akauntan Bertauliah (England & Wales), Akauntan Awam Bertauliah Malaysia dan ahli Institut Akauntan Malaysia.

 

Sepanjang kerjayanya, beliau telah berkhidmat di lebih 12 syarikat dalam pelbagai jawatan daripada pengarah urusan, ahli lembaga pengarah hingga pengerusi.

 

Dikenali secara meluas dengan gaya kepimpinannya yang tegas dan berorientasikan hasil, beliau melaksanakan inisiatif yang berjaya di MBSB termasuk Rangka Kerja Kelestarian yang disiapkan pada suku ketiga 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, Allahyarham merupakan tokoh yang disegani dalam industri perbankan dan mempunyai banyak kepakaran dalam perbankan dan strategi perniagaan.

 

"Beliau tidak memberi sebarang ruang untuk rasa berpuas hati itulah cara beliau membawa perubahan positif kepada kumpulan dan menyelia pembangunan Rangka Kerja Kemampanan Kumpulan.

 

"Saya mendoakan agar keluarganya diberikan kekuatan dalam masa yang sukar ini," katanya.

 

Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Laili Hassan, empat orang anak dan enam cucu.

 

Difahamkan, jenazah beliau akan dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Tunku, Petaling Jaya.

 

Jenazah akan dimandikan di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar, pukul 8 pagi esok dan bakal disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara. - DagangNews.com