Pengerusi TNB dilantik sebagai Pro-Canselor UNITEN pada majlis konvokesyen ke-25 | DagangNews Skip to main content

Pengerusi TNB dilantik sebagai Pro-Canselor UNITEN pada majlis konvokesyen ke-25

Datuk Abdul Razak Abdul Majid (kiri) dimahsyurkan sebagai Pro-Canselor UNITEN baharu pada majlis konvokesyen ke-25 universiti berkenaan, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov - Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Abdul Razak Abdul Majid dimahsyurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) sempena majlis konvokesyen ke-25 , baru-baru ini.

 

UNITEN berkata, beliau membawa bersama pengalaman dan kepakaran yang meluas, memperkukuhkan peranannya dalam memacu kemajuan dan kecemerlangan universiti ke tahap yang lebih tinggi.

 

Katanya, sebagai Pro-Canselor, Abdul Razak bukan hanya seorang pemimpin akademik, tetapi juga sumber inspirasi untuk komuniti universiti. 

 

"Keterlibatan dan kepakarannya menandakan langkah strategik UNITEN untuk memastikan graduan tidak hanya cemerlang dalam akademik tetapi juga bersedia menyahut cabaran dunia profesional dengan keyakinan dan kepakaran yang kukuh," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, majlis konvokesyen tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Pulau Pinang merangkap Canselor UNITEN, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak.

 

Pada majlis itu, UNITEN meraikan seramai 1,373 graduan yang melangkah ke pentas bagi menerima skrol akademik mereka.

 

Sebanyak 32 anugerah termasuk dua anugerah baharu, iaitu Anugerah Kecemerlangan Lembaga Jurutera Malaysia dan Anugerah Huffaz Profesional diberi sebagai tanda pengiktirafan kepada para graduan. 

 

 

uniten

 

 

Chong Jin Yang, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian), dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor Emas, sementara Ooi Khel Shia, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Kuasa (Kepujian), memperoleh kehormatan Anugerah Canselor Perak dan Lim Swee Keong, Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) (Kepujian), diiktiraf dengan Anugerah Canselor Gangsa.

 

UNITEN terus memperkasa pendekatan pengajaran dan pembelajaran demi menghasilkan individu yang tidak hanya berkelayakan akademik tetapi juga bersedia menyahut cabaran industri. 

 

Kejayaan ini tercermin menerusi kadar kebolehpasaran graduan UNITEN yang mencapai puncak pada 96.8% pada 2022, menunjukkan kesungguhan mereka dalam mengejar ilmu, kemahiran, dan pengalaman.

 

 

uniten

 

 

Selain itu, antara yang menarik perhatian pada tahun ini, dua graduan iaitu Shello Silverius, Sarjana Muda Ekonomi (Tenaga) dan Nur Insyirah Effarizal, Diploma Sains Komputer, yang merupakan pemain hoki negara turut menerima skrol kali ini. 

 

Mereka merupakan wakil Malaysia dalam beberapa pertandingan antarabangsa, termasuk Sukan Asia 2023 di Hangzou, China, dan Asian Champion Trophy 2023 di Ranchi, India. Prestasi mereka bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik tetapi juga kepelbagaian bakat dalam kalangan mahasiswa UNITEN.

 

Antara kejayaan UNITEN sepanjang 2023, bukan hanya terhenti pada bidang akademik, namun juga melibatkan sumbangan kepada masyarakat. Nehemiah Aaron Nathan Nehemiah, seorang penerima Biasiswa Tunku Abdul Rahman, telah mencipta nama dalam Anugerah Diana 2023 dengan permainan kad 'Zing! English', memberikan impak positif kepada 850 anak-anak dalam pembelajaran bahasa Inggeris.

 

Prestasi gemilang turut dicapai Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan, seorang pelajar Tahfiz Generasi ke-10, yang dinobatkan sebagai Johan Majlis Tilawah Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023, mewakili Malaysia di Mekah, Arab Saudi. - DagangNews.com