Penggabungan BPlant-KLK `masih tunggu keputusan muktamad', tarikh akhir 6 Oktober 2023 | DagangNews Skip to main content

Penggabungan BPlant-KLK `masih tunggu keputusan muktamad', tarikh akhir 6 Oktober 2023

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Okt - Boustead Plantation Berhad (BPlant) menjelaskan perbincangan dengan Kuala Lumpur Kepong (KLK) untuk melupuskan 33% kepentingan `sedang menunggu keputusan muktamad' dan tarikh akhir ialah 6 Oktober ini.

 

"Selepas pertanyaan sewajarnya dan bersungguh-sungguh dengan semua pengarah, pemegang saham utama dan semua orang lain yang semunasabahnya biasa dengan perkara yang pendedahan itu akan dibuat dalam hal ini, Lembaga BPlant ingin mengumumkan bahawa pemegang saham mengawal Syarikat, BHB dan LTAT, telah memaklumkan Syarikat bahawa:

 

(i) Cadangan Kerjasama Strategik sedang menunggu keputusan muktamad antara pihak yang berurus niaga.

(ii) Tarikh Cut-Off untuk memenuhi Syarat Terdahulu adalah pada 6 Oktober 2023.

 

"Perkembangan selanjutnya akan diumumkan dalam masa terdekat," kata BPlant sebagai menjawab kepada pertanyaan Bursa Malaysia berhubung laporan The Edge hari ini bahawa "Cadangan pelupusan 33% kepentingan dalam Boustead Plantations Berhad (BPlant) oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) telah gagal".

 

Laporan The Edge itu memetik sumber, berkata bahawa perjanjian tersebut, yang akan dimeterai pada Jumaat ini, telah gagal.

 

Dagangan dalam sekuriti BPlant dan KLK dihentikan awal hari ini sementara menunggu pengumuman di tengah-tengah tersebarnya berita bahawa perjanjian RM1.15 bilion untuk KLK membeli ke Bplant telah gagal.

 

Menurut satu laporan lain, Lembaga Tabung Angkatan Tentera LTAT, yang memiliki ekuiti di dalam BPlant, berdepan kritikan pemimpin parti pembangkang yang melabel urus niaga itu sebagai langkah yang menyimpang daripada agenda negara untuk mencapai sasaran ekuiti korporat Bumiputera 30 peratus menjelang 2025.

 

Bplant dilaporkan kehilangan RM370 juta daripada permodalan pasarannya semalam selepas harga sahamnya ditutup pada RM1.27 sesaham pada Isnin.

 

Harga saham KLK pula ditutup pada RM21.48 pada hari Isnin.

 

Sebagai imbasan, KLK mengumumkan rancangannya untuk membeli 33 peratus pegangan pemilikan dalam Bplant, bersama satu saham, daripada Boustead Holdings Bhd (BHB) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada harga RM1.15 bilion, bersamaan dengan RM1.55 bagi setiap bahagian Bplant.

 

KLK, LTAT dan BHB bersetuju untuk melanjutkan tarikh pemotongan perjanjian itu kepada 6 Oktober 2023. Setelah dimeterai, ketiga-tiganya akan melancarkan tawaran am mandatori untuk baki saham dalam BPlant pada RM1.55 sesaham. - DagangNews.com