Pengguna domestik ada tunggakan 6 bulan, tiada potongan elektrik | DagangNews Skip to main content

Pengguna domestik ada tunggakan 6 bulan, tiada potongan elektrik

 

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Bekalan elektrik di premis pengguna domestik di Semenanjung dan Sabah yang mempunyai tunggakan kurang daripada 6 bulan tidak akan dipotong sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2021. 

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif itu adalah hasil kerjasama dan persetujuan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang akan memberi manfaat kepada 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 500,000 pengguna domestik di Sabah yang layak.

 

Katanya, kategori pengguna ini akan diberi kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran selama enam 6 mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021. 

 

"Pengguna yang mempunyai tunggakan melebihi 6 bulan pula boleh berunding dengan pihak TNB dan SESB untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi mengelakkan pemotongan bekalan elektrik.

 

"Kita faham kesan kepada TNB tapi kita juga faham apa yang sedang dihadapi rakyat. Maknanya kita mengambil jalan tengah untuk menjaga kewangan di TNB dan melihat keperluan dan kepentingan rakyat," katanya dalam laporan Bernama

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di sini hari ini.

 

Menurut Shamsul Anuar, kementerian juga akan meminta pihak TNB untuk mengaktifkan kaunter-kaunter di kedai tenaga bagi membolehkan rakyat berurusan dengan mudah.

 

"Ini merupakan inisiatif tambahan untuk rakyat yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan kesan daripada pandemik COVID-19," katanya.

 

Setakat 31 Oktober lalu, kira-kira 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung menikmati diskaun bil elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE), melibatkan peruntukan berjumlah RM1.9 bilion. 

 

Pakej Prihatin dan BPE dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu mengurangkan bil elektrik rakyat terutama pengguna domestik berikutan penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Bagi mengurangkan beban peningkatan bil elektrik sepanjang tempoh PKP, pakej BPE tambahan telah diberikan kepada semua pengguna domestik di Semenanjung iaitu diskaun secara one-off sehingga RM77 sebulan atau RM231 untuk tempoh 3 bulan pelaksanaan PKP, iaitu bagi penggunaan elektrik pada April, Mei dan Jun 2020. - DagangNews.com