Pengguna tidak perlu berbelanja besar untuk menikmati perkhidmatan 5G | DagangNews Skip to main content

Pengguna tidak perlu berbelanja besar untuk menikmati perkhidmatan 5G

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Pengguna tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk menikmati perkhidmatan 5G kerana kerajaan telah mengambil kira soal itu sebelum ia dilaksanakan kepada umum.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, melalui Digital Nasional Berhad (DNB) yang merupakan agensi pelaksana perkhidmatan itu, kerajaan menetapkan agar kos kemudahan itu perlu berpadanan dan tidak membebankan pengguna.

 

"Kami telah berusaha mencari modul perkhidmatan pada harga berpatutan dengan model 5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration yang dikendalikan DNB.

 

"Ini kerana jika setiap syarikat telekomunikasi membuat infrastruktur sendiri, ia akan mengakibatkan implikasi terhadap kos pelaksanaan dan ini menjadi member kesan dari segi kos kepada pengguna.

 

"Melalui model MOCN yang dikendalikan DNB itu, perkhidmatan 5G tidak menggunakan konsep 'different operators different infrastructures', sebaliknya menekankan tentang 'one single owner' supaya perkhidmatan diberi lebih berkesan dan dapat mengurangkan kos," katanya selepas menyaksikan Majlis Pembentangan dan Demonstrasi 5G MOCN Integration oleh DNB di Telekom Malaysia Titiwangsa di sini, hari ini.

 

annuar
Annuar Musa

 

Annuar berkata, dengan model MOCN itu juga, kerajaan berharap dapat menjadikan Malaysia sebagai satu daripada negara peneraju bagi perkhidmatan rangkaian 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

 

“Ini penting kepada kerajaan kerana sebahagian daripada perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah bergantung kepada keupayaan kita menyediakan 5G.

 

“Malah dalam menyediakan kemudahan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memainkan peranan sebagai badan pengawal selia supaya tiada pihak perlu risau akan isu ketelusan dan sebagainya,” katanya.

 

Beliau berkata, sepertimana terkandung dalam pelan tindakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital), DNB diberikan tempoh sebelum akhir tahun ini untuk melaksanakan perkhidmatan 5G ke kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur terlebih dahulu. 

 

”Ini bermakna dalam tempoh tiga tahun ini pula, kita jangka untuk menjangkau kira-kira 80 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara. 

 

"Ini satu agenda nasional yang sangat penting kerana akan menjadi game changer (pencetus perubahan) kepada aktiviti ekonomi di seluruh negara,” katanya.-DagangNews.com