PENCIPTAAN dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan yang lebih dikenali sebagai Kecerdasan Buatan (AI) dilihat mampu menjadi alat bantuan penyelidikan berharga bagi ahli akademik di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Selari dengan perkembangan aplikasi teknologi kecerdasan buatan ketika ini, penyelidik di IPT dijangka dapat meningkatkan kuantiti dan kualiti penyelidikan sedia ada secara intensif.
Bukan sahaja bagi membantu mereka memenuhi keperluan penerbitan tahunan, malah menyokong hasrat IPT bagi meningkatkan prestasi dan kedudukan menerusi hasil penyelidikan berimpak tinggi.
ChatGPT dan Google Bard, antara sebahagian perisian kecerdasan buatan yang semakin kerap disebut-sebut, bukanlah suatu alat bantuan yang baru, Malah aplikasi ini telah diterima secara meluas di dalam landskap akademik dunia terutamanya dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP).
Di Amerika Syarikat khususnya, teknologi ini dianggap sebagai keperluan wajib seawal pendidikan menengah. Justeru, seiring dengan penerimaan dalam aktiviti PdP, ChatGPT semakin aktif digunakan secara berterusan dalam aktiviti penyelidikan di IPT.
Walaupun ChatGPT mampu menjadi alat yang berharga bagi penyelidik di IPT, kebimbangan sesebuah IPT itu sendiri sudah tentu tertumpu pada potensi penyalahgunaan aplikasi teknologi kecerdasan ini.
Seperti mana disarankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), sesuatu penyelidikan itu tidak hanya harus menyumbang pada pembangunan ilmu serta kemampanan komuniti dan ekonomi negara tetapi juga haruslah dijalankan secara beretika bagi memperlihatkan kualiti dan kredibiliti penyelidik itu sendiri.
Penyelidik di IPT mempunyai tanggungjawab untuk memastikan aktiviti penyelidikan mereka mematuhi garis panduan dan prinsip etika penyelidikan demi melindungi hak cipta penyelidikan yang telah terhasil sebelumnya.
Di dalam konteks etika penyelidikan ini, penyelidik seringkali terdedah pada isu ciplak karya sewaktu menjana kandungan bagi kertas penyelidikan mereka tanpa menyatakan sumber sah atau petikan yang betul.
Persoalan utama yang menjadi asas perbincangan ketika ini ialah bagaimana ahli akademik harus mendepani perkembangan inovasi AI dalam aktiviti penyelidikan dan mendapat manfaat sewajarnya dari aplikasi teknologi kecerdasan buatan seperti aplikasi ChatGPT dan Google Bard ini.
Justeru, beberapa langkah berkaitan peningkatan kuantiti dan kualiti penyelidikan perlu diberi perhatian segera dan khusus di setiap IPT bagi berdepan dengan arus penggunaan aplikasi teknologi AI.
Antaranya termasuk memperbanyakkan program kesedaran sebagai asas pegangan. Ini adalah penting bagi ahli akademik diimunisasikan tentang kelebihan dan kelemahan kandungan hasil kerja penyelidikan mereka dari aplikasi AI.
Seterusnya, membudayakan kaedah berpegang pada garis panduan dan prinsip etika profesional ketika menjalankan aktiviti penyelidikan dan penulisan. Jika pembudayaan etika berteraskan integriti ini dapat diperkasakan, sudah pasti ahli akademik mampu menggunakan aplikasi teknologi AI dengan lebih berhemah dan rasional.
Peranan IPT melalui unit penyelidikan masing-masing dalam menggalakkan penggunaan aplikasi AI sebagai alat bantuan sampingan sangat dialu-alukan. Langkah ini mampu meningkatkan kualiti penggunaan bahasa dan sumber penyelidikan lebih tepat dan terkini, di samping mengemaskini kandungan penyelidikan.
Namun begitu, penggunaan teknologi ini tidak sewajarnya digunakan sebagai sumber maklumat utama atau pengganti proses sedia ada dalam membangunkan aktiviti penyelidikan ilmiah.
Ledakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan di negara kita ini tidak dapat dielakkan. Dunia akademik khususnya para penyelidik harus melihat cabaran ledakan ini sebagai peluang titik tolak untuk lebih ke hadapan.
Kepantasan perkembangan aplikasi ini harus dicakna dengan cepat supaya fasa adaptasi serta asimilasi dapat berlaku secara seiring bagi mengelak keciciran. Warga akademik perlu cekap memanfaatkan potensi teknologi ini bagi menggalakkan lebih banyak hasil penyelidikan berimpak tinggi.
Sewajarnya aplikasi teknologi AI seperti ChatGPT, Google Bard dan seangkatannya harus dilihat sebagai pemangkin perubahan ke arah peningkatan kuantiti dan kualiti penyelidikan sedia ada di IPT.
Manfaat sebenar yang mampu diperoleh oleh ahli akademik menerusi aplikasi AI sangat meluas andai kata dimanifestasikan dengan cara yang betul.
Impak utama boleh dinikmati melalui pembudayaan sikap warga penyelidik sendiri untuk menghasilkan penyelidikan yang dapat menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan ilmu secara berterusan. - DagangNews.com