KUALA LUMPUR 17 Julai - Impak berterusan daripada kecerdasan buatan (AI) terhadap sektor pengurusan aset global adalah lebih kepada penjimatan kos berbanding meningkatkan keuntungan pelaburan, menurut Moody's Ratings.
Agensi penarafan global itu menyatakan, firma yang mempunyai sumber yang mencukupi dan menerima sepenuhnya automasi dikuasakan AI akan melihat manfaat terbesar tetapi ia tidak akan memberikan prestasi pasaran yang menggalakkan secara berterusan untuk industri.
Katanya kemajuan terkini AI berpotensi untuk meningkatkan kecekapan aliran kerja dan automasi dengan ketara di syarikat pengurusan aset dengan meningkatkan produktiviti, menaik taraf produk dan menambah baik perkhidmatan.
"Bagaimanapun, AI lanjutan tidak akan membolehkan semua pengurus aset untuk mengatasi prestasi pasaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.
Agensi itu berkata, impak berkekalan dan nilai sebenar AI dalam pengurusan aset bukan terletak kepada pencapaian prestasi melebihi pelaburan, tetapi lebih kepada meningkatkan pengalaman pelanggan, penyediaan rumusan pelaburan dan memperoleh kecekapan melalui automasi.
Menurut Moody’s Ratings, AI juga dapat membantu membuat analisis kewangan, menjadikan pasaran lebih cekap untuk pelbagai pelabur.
“Ia boleh memberikan pemahaman yang lebih baik tentang penyata kewangan, data dan pemfailan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC), sekali gus mengecilkan jurang antara pelabur profesional dan runcit," katanya.
Model AI generatif terkini yang boleh menganalisis dan mentafsir sejumlah besar data kewangan dan bukan kewangan berstruktur dan tidak berstruktur.
Moody's Ratings berkata, keupayaan itu boleh mengembangkan tindakan penetapan harga dalam kalangan kumpulan penganalisis dan pelabur yang lebih luas, meningkatkan kecerdasan keseluruhan peserta kewangan secara kolektif.- DagangNews.com