Penggunaan EV global dijangka jadi pemacu kepada jualan tayar Seng Fong, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Penggunaan EV global dijangka jadi pemacu kepada jualan tayar Seng Fong, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Seng Fong Holding Bhd diramal menerima kesan positif daripada jualan tayar di pasaran automotif terbesar dunia iaitu China dan India serta perkembangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di peringkat global.

 

RHB Investment berkata, penggunaan EV secara meluas juga dijangka meningkatkan hasil kumpulan kerana tayar EV adalah lebih cepat menipis berbanding kereta konvensional.

 

Katanya, dengan peningkatan kapasiti pemprosesan dan kecekapan automasi yang dipertingkatkan, syarikat itu bersedia untuk menguasai bahagian pasaran yang lebih besar serta mengembangkan margin, mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 31.8%.

 

Kapasiti pengeluarannya meningkat kepada 190,000 tan metrik pada 2024, daripada 3,000 metrik tan metrik pada 1986 dengan kumpulan itu menyasarkan untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran kepada 200,000 tan metrik menjelang 2025.

 

"Kumpulan itu mempunyai kehadiran yang kukuh di China dan India, pengguna getah asli terbesar dunia dan pasaran automotif dunia. Pada 9MFY24, China menyumbang 69% daripada jualan Seng Fong, manakala India menyumbang 30% melalui peniaga getah antarabangsa Singapura.

 

"Peralihan global kepada EV – terutamanya di China yang merupakan pengeluar EV terbesar dunia – telah meningkatkan permintaan untuk tayar kerana tayar EV menipis 20% lebih pantas kerana berat dan tork yang lebih tinggi.

 

"China dan India juga mempunyai pasaran tayar gantian yang banyak, dengan pasaran China bernilai AS$10 bilion (RM47.1 bilion) pada 2022 dan kemudianya terus berkembang dipacu pertambahan penggunaan kenderaan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun margin boleh dipengaruhi oleh kos overhed seperti upah, diesel dan penggunaan elektrik.

 

Katanya, kumpulan itu memberikan fokus kepada usaha pengurangan kos dan kelestarian alam sekitar, setelah melaksanakan penggunaan sistem solar dan biojisim bagi menghasilkan penjimatan RM12.6 juta setahun.

 

"Kami menetapkan harga wajar (FV) RM1.63 sesaham," katanya. - DagangNews.com