Penggunaan harian pengangkutan awam oleh OKU meningkat 49 peratus - Prasarana | DagangNews Skip to main content

Penggunaan harian pengangkutan awam oleh OKU meningkat 49 peratus - Prasarana

Lebih 6,000 Pengguna OKU Telah Mendaftar Pas Perjalanan Percuma OKU Smile

Prasarana Malaysia Berhad, selaku pengendali rangkaian pengangkutan awam rel dan bas di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan telah mencatatkan peningkatan penggunaan harian dalam kalangan warga OKU sebanyak 49% semenjak Februari 2024.

 

Pada bulan Mei 2024, perkhidmatan Rapid Rail dan Rapid Bus telah mencatat sebanyak 233,915 jumlah penggunaan dalam kalangan warga OKU.

 

Pengenalan Pas Perjalanan Percuma OKU Smile (Pas OKU Smile) pada bulan Februari tahun ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada peningkatan ini.

 

Inisiatif Pas OKU Smile telah menerima sambutan menggalakkan dan setakat hari ini telah mendapat lebih daripada 6,000 pendaftaran.

 

 

prasarana

 

 

Bagi memberi pengenalan mendalam serta memudahkan proses pendaftaran Pas OKU Smile, pihak Prasarana telah mengadakan beberapa siri jelajah untuk meningkatkan kesedaran serta menggalak penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan komuniti OKU.

 

Sebanyak lima siri jelajah telah berjaya disempurnakan termasuk di Hospital Al Sultan Abdullah (HASA), Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Bandar Tasik Selatan.

 

Siri jelajah terakhir untuk tahun ini telah diadakan di Kampus UiTM Shah Alam.

 

Seramai 409 orang telah berjaya didaftarkan hasil daripada siri jelajah tersebut dan selebihnya daripada pengaktifan Pas OKU Smile di Kaunter Perkhidmatan rel dan hab bas terpilih.

 

 

parafrasa

 

 

Bagi memastikan golongan OKU sentiasa diberi perkhidmatan yang terbaik, kakitangan barisan hadapan menerima latihan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyantuni golongan tersebut.

 

Stesen-stesen rel dan hab-hab bas turut dilengkapi dengan fasiliti mesra OKU seperti kemudahan lif, tanjakan, laluan bercorak timbul dan tandas OKU.

 

Selain itu, ruangan khas juga turut disediakan khusus untuk pengguna berkerusi roda selain tempat duduk keutamaan (priority seat) tersedia bagi keselesaan pengguna yang memerlukan seperti pengguna OKU, wanita mengandung, dan warga emas.

 

 

parafrasa

 

 

Inisiatif Pas OKU Smile adalah susulan daripada pengumuman Kementerian Pengangkutan pada 21 Disember 2023 mengenai inisiatif tambang percuma untuk komuniti OKU.

 

Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan perjalanan percuma kepada komuniti OKU bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana.

 

Pas OKU Smile boleh didapati dari kaunter-kaunter perkhidmatan terpilih bagi Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan.

 

Maklumat berkenaan Pas OKU Smile boleh didapati di laman web rasmi www.myrapid.com.my atau di platform media sosial Rapid KL dan Rapid Penang.

 

Bagi sebarang pertanyaan, pengguna juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL 03-78852585; Rapid Penang 04-2558000 atau Rapid Kuantan 09-5663686/019-3858607. - DagangNews.com