Penggunaan internet dalam kalangan rakyat Malaysia kekal tinggi sebanyak 98% pada 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Penggunaan internet dalam kalangan rakyat Malaysia kekal tinggi sebanyak 98% pada 2023 - DOSM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 22 April – Penggunaan internet dalam kalangan masyarakat Malaysia kekal tinggi pada 97.7 peratus pada 2023, menurut Laporan Kaji Selidik Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Kaji selidik itu membentangkan statistik penggunaan dan capaian ICT oleh individu dan isi rumah, juga boleh dijadikan input bagi pengukuran pembangunan ICT negara.

 

Aktiviti penggunaan Internet yang paling popular pada tahun 2023 adalah menyertai rangkaian sosial iaitu 99.4 peratus, diikuti oleh aktiviti memuat turun gambar, filem, video atau muzik; bermain atau memuat turun permainan (93.9%) dan mendapatkan maklumat tentang barangan atau perkhidmatan (92.8%).

 

Di samping itu, peratusan untuk mendapatkan maklumat secara atas talian terus mendapat sambutan di mana bagi aktiviti e-kesihatan seperti mendapatkan maklumat kesihatan mencapai 62.9 peratus manakala dan untuk aktiviti e-kerajaan seperti mendapatkan maklumat daripada organisasi kerajaan mencapai 55.4 peratus.

 

Selain dari itu, sebanyak 70.6 peratus masyarakat Malaysia telah membuat aktiviti pembelian barangan atau perkhidmatan melalui e-Dagang dan sebanyak 75.2 peratus telah menggunakan perbankan Internet pada tahun 2023.

 

 

dosm

 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 99.3 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada telefon bimbit manakala 96.4 peratus memiliki capaian internet pada 2023,

 

Dari segi penggunaan telefon, 97.6 peratus memilih telefon pintar manakala 16.3 peratus daripada isi rumah masih mempunyai capaian ke atas telefon biasa.

 

Sementara itu, capaian isi rumah ke atas Internet dan komputer masing-masing merekodkan 96.4 peratus dan 91.6 peratus.

 

Televisyen berbayar pula merekodkan capaian sebanyak 77.0 peratus, manakala capaian telefon talian tetap semakin tidak popular dalam kalangan isi rumah iaitu dengan hanya 27.4 peratus.

 

Dapatan kaji selidik itu menunjukkan capaian Internet melalui jalur lebar mudah alih (95.3%) terus menjadi pilihan isi rumah Malaysia berbanding jalur lebar tetap (47.1%).

 

 

dosm

 

 

Dari sudut lokaliti, sebanyak 98.4 peratus isi rumah di bandar mempunyai capaian internet, sementara di kawasan luar bandar hanya merekodkan 89.8 peratus.

 

Dr. Mohd Uzir berkata, kaji selidik itu turut membentangkan penggunaan perkhidmatan dan peralatan ICT oleh individu.

 

Berdasarkan penemuan kaji selidik, penggunaan komputer oleh individu merekodkan sebanyak 80.4 peratus pada tahun 2023. Penggunaan komputer merangkumi penggunaan semua jenis komputer iaitu komputer peribadi, komputer riba atau papan elektronik mudah alih.

 

Penggunaan komputer di kawasan bandar direkodkan sebanyak 86.0 peratus manakala di kawasan luar bandar adalah 63.6 peratus.

 

Lima aktiviti menunjukkan peratus tertinggi penggunaan ICT pada tahun 2023 iaitu aktiviti menyalin atau memindahkan fail atau folder (97.5%). Ini diikuti dengan aktiviti menggunakan teknik menyalin dan menampal untuk pendua atau memindahkan maklumat di dalam satu dokumen (96.7%), menghantar emel beserta fail (89.9%), memindahkan fail di antara komputer dan peranti mudah alih lain (83.5%) serta menghubungkan dan memasang peranti baru (79.4%).

 

Walau bagaimanapun, kemahiran yang lebih teknikal seperti aktiviti menggunakan teknik aritmetik asas di dalam lembaran kerja dan menulis program komputer menggunakan bahasa pengaturcaraan yang khusus masih hanya merekodkan masing-masing sebanyak 67.7 peratus dan 23.9 peratus. - DagangNews.com