Penggunaan loji lebih tinggi, HLIB jangka pendapatan suku keempat 2023 Petronas Chemicals meningkat | DagangNews Skip to main content

Penggunaan loji lebih tinggi, HLIB jangka pendapatan suku keempat 2023 Petronas Chemicals meningkat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - Pendapatan suku keempat 2023 Petronas Chemicals Group Berhad (PetChem) dijangka bertambah baik didorong penggunaan loji lebih tinggi selepas beberapa gangguan yang berlaku pada suku kedua dan ketiga dapat diselesaikan dengan baik.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, terdapat pelbagai gangguan di luar jangkaan berlaku pada suku kedua (Petronas Chemicals Methanol Labuan dan Petronas Chemicals Ferteliser Sabah) dan suku ketiga (Petronas Chemicals Methanol Labuan dan Petronas Chemicals Olefins Kertih), yang mengheret kadar penggunaan keseluruhan syarikat masing-masing kepada 82% dan 77%.

 

Katanya, kadar penggunaan keseluruhan kumpulan seharusnya meningkat kepada 85% pada suku keempat.

 

Gangguan itu dapat diselesaikan pada akhir Oktober, walaupun terdapat beberapa aktiviti penyelenggaraan yang dirancang sedang dilakukan pada suku berkenaan.

 

"Kami melihat bahawa pemulihan pada suku keempat 2023 akan dipacu oleh peningkatan kadar penggunaan kerana tiada pergerakan ketara dalam harga produk utama kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

HLIB berkata, pendapatan teras suku keempat 2023 kumpulan dijangka berada dalam julat RM550 juta hingga 575 juta, yang seterusnya menjadikan pendapatan teras tahun kewangan 2023 (FY23) berjulat daripada RM2.16 bilion hingga RM2.19 bilion.

 

Katanya, jumlah itu mewakili 100% hingga 101% daripada ramalan tahun penuhnya.

 

"Kami menyemak turun unjuran pendapatan FY23/FY24/FY25 kami sebanyak 1%/1%/3% selepas beberapa pelarasan kecil pada penggunaan dan andaian harga jualan purata (ASP).

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM6.04 sesaham," katanya. - DagangNews.com