Penggunaan teknologi inovatif, AI generatif jadikan IHH Healthcare lebih berdaya saing | DagangNews Skip to main content

Penggunaan teknologi inovatif, AI generatif jadikan IHH Healthcare lebih berdaya saing

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Julai - Penggunaan teknologi inovatif seperti pembedahan robotik dan kecerdasan buatan (AI) generatif bagi menilai faktor risiko penyakit akan menjadikan IHH Healthcare Bhd menjadi lebih berdaya saing.

 

BIMB Securities berkata, sejak pengenalan pengimbas PET-CT Digital pertama negara di Hospital Gleneagles Medini Johor, ia secara tidak langsung menjadikan mereka peneraju dalam perkhidmatan onkologi.

 

Katanya, sejak pelancaran perkhidmatan onkologinya pada 2019, bahagian pasaran hospital itu di Johor mencatatkan pertumbuhan kepada 46% berbanding 20.8% sebelum ini.

 

"Tambahan pula, pembukaan Pusat Terapi Proton Mount Elizabeth di Singapura menggariskan kepimpinan kumpulan itu dalam penjagaan kanser yang komprehensif," katanya dalam satu nota kajian.

 

Bagi tempoh 3MFY24, hasil kumpulan itu meningkat sebanyak 15.8% kepada RM6 bilion didorong oleh pertambahan jumlah pesakit berterusan dan peningkatan dalam kes serius dan kompleks.

 

Pasaran Singapura meningkat sebanyak 18%, Malaysia dengan 9%, India (20%), China (24%), dan Turkiye & Eropah (23%), menjadikan keuntungan bersih teras meningkat sebanyak 22.1% kepada RM403 juta, sejajar dengan jangkaan.

 

Peningkatan itu disebabkan oleh permintaan berterusan bagi penjagaan kesihatan berkualiti, kes pesakit yang lebih teruk dan pelarasan harga untuk mengimbangi inflasi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada suku pertama tahun ini, IHH Healthcare mengambil alih Pusat Perubatan Timberland di Kuching dan merancang membina hospital baharu dengan 200 katil pada tahun ini.

 

Katanya, pengembangan itu bertujuan meningkatkan pelancongan perubatan, dengan lebih 30% pesakit dijangka datang dari Indonesia.

 

"Usaha ini ditetapkan bagi menyumbang secara positif kepada operasi IHH di Malaysia dengan memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pesakit tempatan dan antarabangsa.

 

"Kemudahan infrastruktur dijangka mencapai skala ekonomi dan meningkatkan kecekapan operasi, yang berpotensi mengurangkan kos bagi setiap pesakit yang dirawat," katanya.

 

BIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM7.17 sesaham. - DagangNews.com