KUALA LUMPUR 8 Nov - Altair Engineering Sdn. Bhd. yang merupakan operasi Altair Inc. di Malaysia menggalakkan perusahaan Malaysia untuk mempercepatkan penggunaan teknologi termaju untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
Naib Presiden Kanan Altair APAC, Masatomo Ayame berkata, penggunaan teknologi akan meningkatkan produktiviti dan memacu pertumbuhan ekonomi.
"Altair berjaya memperoleh beberapa syarikat teknologi global yang bertujuan untuk memberikan nilai yang lebih baik untuk pelanggan dan menawarkan pelanggan penyelesaian teknologi terbaik," katanya dalam satu kenyataan selepas Persidangan Altair Technology (ATC), baru-baru ini.
ATC merupakan acara global yang mempamerkan teknologi termaju terkini dan bertujuan untuk memacu kemajuan teknologi masa depan di Malaysia.
Acara itu menarik lebih 240 peserta daripada 45 syarikat.
Sebagai tambahan kepada 21 pembentangan perniagaan, pleno sehari itu juga menyaksikan banyak sesi padanan perniagaan antara syarikat.
Sementara itu, Pengarah Urusan Altair ASEAN dan ANZ, Srirangam Srirangarajan berkata, penumpuan kepada pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC), simulasi, kecerdasan buatan (AI) dan kembar digital meletakkan pembelajaran mesin (ML) bagi membantu meningkatkan produktiviti ekonomi.
"Perniagaan akan sentiasa mencari pendekatan serta teknologi baharu bagi mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan tanpa menjejaskan kualiti," katanya.
Selain mencapai kemajuan perniagaan yang menjimatkan kos, cabaran seperti beban data yang berlebihan, kekurangan kepakaran sains data dan persekitaran pengeluaran yang tidak berskala juga mungkin menghalang perniagaan daripada mencapai pertumbuhan yang mampan dalam industri yang sedang berkembang.
Menyedari hal ini, Altair baru-baru ini mengambil alih RapidMiner, platform sains data dengan visi bersama untuk menjadikan analitik data lebih mudah untuk pengguna dan cukup selamat untuk semua perusahaan.
Srirangam berkata, antara industri utama yang bakal menerima manfaat daripada pengambilalihan itu adalah pembuatan, perbankan dan insurans.
Katanya, perniagaan dalam industri pembuatan akan dapat meningkatkan kadar produktiviti, meningkatkan kepuasan pelanggan, mengoptimumkan inventori yang akan menjimatkan kos dan menambah baik membuat keputusan mengenai keuntungan serta kerugian perniagaan.
Keupayaan ini diperlukan untuk mempromosikan penggunaan digital dalam kalangan perniagaan serta menyokong cita-cita Malaysia untuk berada dalam 10 teratas dalam infrastruktur digital menjelang 2025. - DagangNews.com