PENGILANG gesa kerajaan batalkan cadangan gabung tiga bank elak ekonomi bumiputera terjejas  | DagangNews Skip to main content

PENGILANG gesa kerajaan batalkan cadangan gabung tiga bank elak ekonomi bumiputera terjejas 

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) merayu cadangan penggabungan tiga bank, iaitu SME Bank, Bank Pembangunan, dan EXIM Bank tidak diteruskan.  

 

Sambil melahirkan kebimbangan mendalam, Presiden PENGILANG Datuk Azman Yusoff berkata, penggabungan ketiga-tiga bank itu boleh mengancam kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan ekonomi syarikat-syarikat bumiputera, khususnya perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

 

Menurutnya, penggabungan ini dijangka membawa kesan negatif yang ketara kepada lebih
daripada 25,000 PMKS Bumiputera yang telah mendapat manfaat daripada SME Bank selama ini. 

 

 

"Setiap bank yang terlibat dalam penggabungan ini mempunyai fokus perniagaan dan kumpulan sasaran yang berbeza, dan sebarang penggabungan mungkin mengganggu kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan yang telah terbukti berkesan. 

 

"Industri pengilang mendapat banyak manfaat daripada kerajaan melalui SME Bank berbanding bank komersial. Terdapat pelbagai pakej dan program pembiayaan yang disediakan, terutama untuk usahawan dan pengilang yang baru memulakan perniagaan. 

 

"Sebagai contoh, Dana Kemampanan PMKS Bumiputera 2.0 (DKPB 2.0) adalah sebuah program pembiayaan untuk membantu perusahaan Bumiputera Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi dari segi kapasiti pengeluaran, penembusan pasaran dan daya saing," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Datuk Azman Yusoff
                               Datuk Azman Yusoff

 

 

Selain itu, kata Azman, penggabungan ini juga boleh membawa kepada pengurangan kakitangan yang majoritinya adalah daripada kalangan orang Melayu dan Bumiputera.

 

Malah kata beliau, cadangan penggabungan ketiga-tiga bank ini juga berpotensi mengancam status SME Bank sebagai institusi kewangan patuh Syariah.

 

"Kami khuatir langkah ini akan merugikan sektor perbankan Islam di negara kita dan mengurangkan akses kepada pembiayaan Syariah yang kompetitif untuk PMKS," jelasnya.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, PENGILANG merayu kepada pihak kerajaan agar mengkaji semula cadangan ini dengan lebih mendalam, dan mempertimbangkan pilihan lain yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak, terutama PMKS Bumiputera.

 

"Kami percaya bahawa dengan pendekatan yang lebih berhati-hati dan menyeluruh, kepentingan ekonomi Bumiputera dapat terus dipelihara dan diperkukuhkan," ujarnya.

 

Selain PENGILANG beberapa lagi badan perniagaan mewakili pengusaha bumiputera juga menyuarakan pandangan sama yang menyeru kerajaan batalkan cadangan penggabungan SME Bank dengan dua lagi bank.

 

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Oktober tahun lalu, kerajaan mengumumkan institusi kewangan pembangunan (DFI) akan distruktur semula melalui penggabungan BPMB, SME Bank dan Exim Bank.- DagangNews.com