Pengisahan Za'ba jadi kandungan pada sambutan HAWANA 2023 | DagangNews Skip to main content

Pengisahan Za'ba jadi kandungan pada sambutan HAWANA 2023

Za'ba pernah bertugas di Pejabat Karang Mengarang SITC.
Oleh ZAKI SALLEH 

TANJUNG MALIM 29 Mac - Satu dokumentasi berkenaan tokoh persuratan tanah air, Za'ba akan dijayakan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai salah satu kandungan bagi sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.

 

Projek penulisan ini dilaksanakan bagi membantu pihak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku hos sambutan tersebut.

 

Za'ba atau nama sebenarnya, Zainal Abidin Ahmad yang dikenali dengan penulisan beliau, bertugas di Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris Training College (SITC) atau kini UPSI pada 1924 hingga 1939.

 

Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI, Prof Dr Tajul Shuhaizam Said berkata, pihaknya sangat berbesar hati apabila dapat menyumbang bagi sambutan HAWANA 2023 di Perak.

 

Menurut beliau yang juga Pengarah Muzium Pendidikan Nasional, satu pertemuan telah diadakan dengan kru Bernama Radio baru-baru ini di kampus UPSI.

 

"Pemilihan Za'ba sebagai tokoh untuk ditonjolkan pada sambutan HAWANA nanti tepat kerana beliau adalah tokoh penulisan yang mana sumbangannya sangat besar.

 

"Salah satu tugas Za'ba semasa di SITC adalah menulis, mengarang dan memperbetulkan karangan orang iaitu umpama seorang editor hari ini.

 

 

hawana
Prof Dr Tajul Shuhaizam Said (dua, kiri) bersama Ketua Radio Bernama, Azlan Idris (tiga, kiri) dan kru semasa berkunjung ke Muzium Pendidikan Nasional di UPSI Tanjung Malim, Perak.

 

 

hawana

 

 

"Beliau menulis buku karang-mengarang Melayu untuk diketengahkan kepada masyarakat dan menjadi rujukan pelajar dan pendidik.

 

"Ketika bertugas di Pejabat Penterjemahan, Za'ba diarahkan oleh O.T Dussek untuk menerbitkan The Malay Schools Series," ujarnya.

 

 

hawana
Rumah Za'ba yang masih berdiri teguh di kampus UPSI Tanjung Malim.

 

 

Mengulas lanjut kata Tajul Shuhaizam, dengan latar belakang sebagai seorang pendidik, Za'ba ketika itu memiliki ketajaman idea dan merupakan seorang ilmuwan.

 

"Usahanya yang gigih untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa terulung di negara kita pada masa itu.

 

 

hawana
                                                                      Prof Dr Tajul Shuhaizam Said

 

 

"Za'ba adalah penterjemah buku bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu di samping menulis rencana dalam akhbar.

 

"Beliau bukan sahaja tokoh sarjana tetapi seorang penganalisis mengenai peradaban orang Melayu dalam semua aspek," ujarnya. - DagangNews.com