Penglibatan pekerja selepas pandemik: Pupuk budaya korporat kukuh dalam era WFH | DagangNews Skip to main content

Penglibatan pekerja selepas pandemik: Pupuk budaya korporat kukuh dalam era WFH

Oleh Melissa Norman

PANDEMIK COVID-19 memaksa banyak syarikat beralih kepada aturan kerja jarak jauh bagi meneruskan operasi perniagaan. Konsep baharu ini mempunyai kelebihan kerana dasar kerja fleksibel, peningkatan terhadap komitmen, perkembangan serta kepelbagaian tenaga kerja.

 

Walaubagaimanapun, masih terdapat kelemahannya. Cabaran utama ialah bagaimana konsep aturan kerja jarak jauh ini mempengaruhi budaya korporat kerana ia diteruskan.

 

Justeru, isu bagaimana organisasi mampu bertahan dan menyesuaikan budaya korporat syarikat dalam tren kerja baharu ini perlu dititik beratkan.


 

melissa norman
                                                         MELISSA NORMAN

 


Kepentingan Mempunyai Budaya Korporat Yang Kukuh

Budaya Korporat yang kukuh merupakan tulang belakang organisasi yang berjaya. Ia berperanan sebagai pelengkap kepada perpaduan, menyemai nilai kebersamaan dan perasaan jatidiri.

 

Budaya korporat yang positif dikaitkan dengan kepuasan pekerja, produktiviti dan kadar pengekalan pekerja. Ia mewujudkan persekitaran dimana pekerja lebih bermotivasi, saling berhubung dan mengambil bahagian antara kerja dan rakan sekerja. Hal ini mendorong hubungan kerjasama, inovatif serta prestasi keseluruhan yang baik.

 

Dalam konteks kerja jarak jauh ini, organisasi berdepan cabaran untuk mengekalkan budaya korporat kerana perbezaan tempat bekerja dan aktiviti komunikasi yang dilakukan secara maya. Pekerja berisiko untuk berasa ketinggalan dalam struktur perkembangan organisasi.

 

Justeru, penting untuk entiti perniagaan membentuk strategi untuk memastikan budaya korporat yang berkembang baik, meskipun tenaga kerja beroperasi dari jarak jauh.

 

Budaya Korporat dan Cabaran Bekerja Jarak Jauh

Bekerja secara jarak jauh memberi banyak kelebihan kepada perniagaan namun pada masa yang sama juga mempunyai cabaran terhadap pembudayaan korporat syarikat.

 

Cabaran terbesar yang dihadapi ialah mengekalkan kemuafakatan dan hubungan pekerja yang berada di tempat berbeza. Pertemuan fizikal di pejabat seperti perbualan di pantri, makan tengah hari dan minum petang seringkali dianggap remeh namun sebenarnya memainkan peranan penting dalam membina hubungan dan perpaduan
pekerja.


 

tnb

 


Tanpa interaksi secara bersemuka, sukar untuk organisasi menjalin hubungan kerja yang baik selain mewujudkan kepercayaan dan kerjasama antara satu sama lain. 

 

Bagi sesetengah pekerja, mereka akan berasa dipinggirkan kerana tidak dapat melibatkan diri dalam aktiviti pasukan atau acara di tempat kerja yang mampu memupuk ‘sense of belonging’ terhadap organisasi.

 

Syarikat harus sedar hakikat ini dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan budaya korporat terus kukuh
meskipun terdapat cabaran dalam pengaturan kerja jarak jauh dan hibrid.

 

Mewujudkan Budaya Kerja Inklusif Melalui Tenaga Kerja Jarak Jauh dan Hibrid

Penerapan budaya korporat bagi tenaga kerja jarak jauh dan hibrid memerlukan usaha sama dalam hubungan, komunikasi dan nilai kebersamaan. Amalan ini mampu menyelaras nilai, kepercayaan dan tingkah laku dalam mendokong strategi perniagaan organisasi.

 

Antara langkah-langkah yang boleh dipraktikkan:

1. Komunikasi: Asas kepada semua perkara

Menggalakkan komunikasi terbuka, telus dan hubungan baik sebagai individu dan rakan sekerja. Membina kepercayaan dan persekitaran kerja yang positif serta kesamarataan terhadap akses dan peluang sama ada di pejabat mahupun kerja jarak jauh.

 

2. Visi Bersama

Memastikan pekerja mengetahui misi dan matlamat syarikat. Mereka perlu memahami bagaimana produktiviti kerja berkait rapat dan menyumbang kepada kejayaan organisasi. Penilaian kerja membantu mengukuhkan akauntabiliti antara para pekerja tanpa mengira lokasi mereka bekerja.

 

3. Ruang Peribadi

Mewujudkan sistem bimbingan atau “Buddy System” yang membantu rekrut baharu mendapat sokongan dan perhatian daripada organisasi. Ketua pasukan harus mudah didekati secara peribadi dan mengambil berat akan pekerja agar kewujudan dan suara mereka didengari.


 

tnb

 


4. Ruang Psikologi Yang Selamat

Menekankan kepentingan terhadap kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman dan meletakkan kesejahteraan pekerja
sebagai ‘nadi perniagaan’ bagi membina kepercayaan dan persekitaran kerja yang mesra dan inklusif.

 

5. Menentukan Waktu Riadah

Penganjuran aktiviti riadah bagi meningkatkan keseronokan bekerja dan mengeratkan hubungan pekerja. Sekiranya
perhimpunan fizikal tidak dapat diatur, lakukan secara maya di mana para pekerja dapat mengeratkan perhubungan melalui pengalaman bersama.

 

Kesimpulan

Budaya korporat dalam kalangan tenaga kerja jarak jauh dan hibrid bukan sesuatu yang mustahil untuk dikekalkan. Namun, ia menuntut pemimpin organisasi menjadi fleksibel, berfikiran terbuka dan usaha bagi memupuk hubungan, komunikasi serta nilainilai bersama. - DagangNews.com

 
MELISSA NORMAN adalah Pengasas dan Pengurus Besar Aisling Group