Pengubahsuaian inventori MSM RM36.6 juta punca ketidakseimbangan | DagangNews Skip to main content

Pengubahsuaian inventori MSM RM36.6 juta punca ketidakseimbangan

MSM Malaysia Holdings Bhd.

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Isu ketidakseimbangan inventori syarikat MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) adalah berpunca daripada pengubahsuaian ke atas pelupusan inventori yang berjumlah RM36.6 juta dalam syarikat MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd..

MSM dalam laporannya kepada Bursa Malaysia semalam menyatakan, pengubahsuaian ke atas pelupusan inventori itu dilaporkan dalam penyata kewangan syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY20).

"Pegawai telah ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan yang komprehensif terhadap rekod pengeluaran dan laporan sistem bagi MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd..

"Kami merujuk kepada pengumuman kami bertarikh 8 September 2020 mengenai hal demikian," jelas MSM.

Pada 8 September lalu, MSM telah mengeluarkan arahan bercuti kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Khairil Anuar Aziz untuk mengemukakan jawapan mengenai ketidakseimbangan inventori syarikat.

Arahan bercuti selama tujuh hari itu dikeluarkan oleh Lembaga Pengarah syarikat berkenaan berkuat kuasa serta-merta pada 8 September hingga notis pemakluman lanjut.

Susulan itu, MSM mengambil keputusan untuk melantik Fakhrunniam Othman sebagai Pegawai Bertugas untuk menjalankan fungsi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Fakhrunniam Othman kini berkhidmat sebagai Pegawai Pelaburan Kumpulan FGV Holdings Berhad.

Syarikat berkenaan juga menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah yang terdiri daripada tiga pengarah MSM iaitu Datuk Syed Hisyam Syed Wazir, Datuk Dr. Abd. Hapiz Abdullah dan Datuk Haris Fadzilah Hassan bagi membantu Pegawai Bertugas untuk tempoh sementara.

Tambah MSM lagi, pengumuman selanjutnya akan dikeluarkan sekiranya terdapat perkembangan dan pemakluman penting berhubung perkara tersebut. - DagangNews.com