KUALA LUMPUR 29 Julai - Malaysia bakal menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 sekiranya ekonomi negara berkembang sebanyak 4% hingga 5% setiap tahun dan kedudukan ringgit kukuh kepada sekitar 4.20 berbanding dolar AS.
Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli berkata, jika sasaran itu tercapai, Malaysia akan dilihat sebagai negara berpotensi dan seterusnya membangkit semula sebagai 'Harimau Asia'.
Selepas majlis pelancaran Penemuan Banci Ekonomi 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), beliau menerangkan piawaian itu adalah yang lebih mudah (bagi melayakkan Malaysia mendapat status itu).
"Ia bergantung pada keupayaan negara menjadi hab kewangan antarabangsa, di samping prestasi Bursa Malaysia yang positif," ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Malaysia sedang mencapai kemajuan ketara untuk mendapatkan semula status Harimau Asia.
Kata beliau, ia berdasarkan tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi negara yang menggalakkan.
Berkaitan garis masa bagi Malaysia mencapai sasaran itu, Rafizi berkata ia akan diterangkan secara perinci dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Rafizi juga menekankan prospek negara sebagai Harimau Asia juga berdasarkan penyediaan negara dalam sektor ekonomi masa depan, termasuk dari segi kemampanan sektor tenaga negara serta pertumbuhan pusat data.
“Untuk menjadi ‘Harimau’, kita perlu fokus kepada sektor bernilai tinggi seperti penciptaan dan reka bentuk cip...tetapi menurut bancian syarikat, syarikat berkaitan cip masih boleh dikira dengan jari.
“Jadi, jurang itu membenarkan kerajaan memastikan dasar dan program untuk lima tahun akan datang tertumpu kepada sektor-sektor ini, tetapi pembangunan sektor swasta tidak sepadan dengan perancangan kerajaan kita (ketika itu),” katanya.
Rafizi turut menegaskan peranan bancian amat penting sebagai kayu pengukur kepada kerajaan merangka sasaran untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Mengulas laporan Banci Ekonomi 2023, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan laporan itu, bilangan pertubuhan di Malaysia meningkat sebanyak 2.5%, dengan nilai keluaran kasar RM3.85 trilion pada 2022.
Katanya, sebanyak 951,862 pertubuhan atau 87.2% daripada sektor perkhidmatan, diikuti oleh sektor pembinaan (71,062 pertubuhan atau 6.5%) dan sektor perkilangan (54,505 pertubuhan atau 5%).
Sementara itu, pertubuhan sektor pertanian dan perlombongan dan kuari menyumbang selebihnya, pertanian menyumbang sebanyak 12,998 pertubuhan, iaitu 1.2% dan 1,440 pertubuhan perlombongan dan kuari bersamaan sumbangan 0.1%.
Mohd Uzir juga berkata nilai keluaran kasar bagi keseluruhan sektor ekonomi berjumlah RM3.85 trilion pada 2022, meningkat 6.4% setiap tahun.
Peningkatan itu sejajar dengan prestasi perdagangan Malaysia, yang menunjukkan pertumbuhan eksport kukuh, dengan kadar pertumbuhan tahunan 10.4% kepada RM1.55 trilion pada 2022.
Sementara iu, banci ekonomi itu diadakan setiap lima tahun, dan bancian terakhir dilakukan pada tahun 2015.
Ia tidak dapat dilakukan pada tahun 2020 kerana Covid-19, dan dijalankan semula pada tahun 2023.- DagangNews.com