KUALA LUMUR 5 Sept - Pengukuhan ringgit dijangka memberi kesan besar kepada kewangan kumpulan Notion Vtec Bhd susulan kerugian pertukaran mata wang asing bukan teras yang besar pada suku tahun kewangan akan datang.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, keadaan ini bagaimanapun mungkin tidak mencerminkan gambaran sebenar operasi kukuh Notion Vtec.
"Melihat ke hadapan kepada kesan mata wang asing ini, prospek jangka pendek syarikat kekal kukuh dengan pertumbuhan jualan dijangka di seluruh segmen pemacu cakera keras (HDD), perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan automotif sepanjang baki tahun kewangan 2024 (FY24) dan FY25.
"Walaupun mengekalkan ramalan keuntungan, kami mengurangkan nisbah P/E yang diperuntukkan kepada 25x (dari 30x) untuk mencerminkan sentimen yang lembap terhadap syarikat berorientasikan eksport berikutan keadaan pertukaran mata wang asing yang kurang baik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Oleh itu, HLIB Research telah menurunkan harga sasaran (TP) Notion Vtec kepada RM2.74 sesaham daripada RM3.28 tetapi mengekalkan penarafan 'Beli'.
"Prestasi harga saham Notion Vtec telah mengalami pembetulan ketara sebanyak -57% daripada paras tertinggi 52 minggu iaitu RM2.45 kepada RM1.05 semalam.
"Penurunan ini berlaku walaupun hasil kukuh 3QFY24 dan boleh dikaitkan dengan beberapa faktor iaitu pengukuhan ringgit yang ketara dengan dijangka menjejaskan pendapatan kumpulan pada masa hadapan dan pelaksanaan keperluan tunai di depan oleh broker yang telah menjejaskan sentimen," jelasnya.
Menurut HLIB Research, sebab yang paling ketara mengapa pelabur menjauhkan diri daripada Notion Vtec adalah kesan potensi turun naik kadar pertukaran mata wang.
Katanya, kira-kira 50% daripada akaun belum terima Notion Vtec adalah dalam dolar AS dan 20% dalam Euro, manakala 90% daripada jualan kumpulan juga dinyatakan dalam mata wang ini.
"Dengan pengukuhan ringgit baru-baru ini, kumpulan ini menghadapi kerugian mata wang asing apabila hasil diterima dan margin keuntungan kasar akan terjejas kerana ringgit yang lebih kuat mengurangkan nilai mutlak pendapatan bagi jualan produk yang sama.
"Memandangkan pengukuhan ringgit yang ketara sejak pertengahan Julai 2024, pengurusan telah memberi panduan untuk kerugian mata wang asing yang signifikan dalam suku akan datang terutamanya disebabkan oleh kesan terhadap akaun belum terima," ujarnya.
Tambah HLIB Research, selepas suku ini, ringgit yang lebih kuat dijangka sepenuhnya dicerminkan dalam prestasi 1QFY25.
"Pengurusan sedang meneroka cara untuk mengurangkan kesan tersebut melalui kontrak hadapan dan mungkin akan menyesuaikan harga jualan produk.
"Dari segi prospek perniagaan, kami kekal optimis mengenai operasi kumpulan dan menjangkakan pertumbuhan volum jualan dalam suku-suku yang akan dating," ujarnya. - DagangNews.com