KANGAR 26 Mac - Pengunjung mengambil peluang mempelajari teknik menganyam rotan dalam Demostrasi Anyaman Kraf Rotan dan Tikar pada hari kedua Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini.
Program anjuran pejabat setiausaha kerajaan negeri itu memberi peluang kepada pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat mencuba seni kraftangan tradisional tersebut secara percuma.
Rata-rata pengunjung cukup teruja menyertai demostrasi tersebut dan mempelajari teknik anyaman daripada golongan dari Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong.
Seorang pelajar yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Nurin Syahirah Atiqah Zahid, 21, berkata, program demostrasi tersebut adalah salah satu acara yang menarik perhatian para pengunjung di sini.
Katanya, selepas melawat pelbagai gerai, peluang belajar proses anyaman tersebut memberi 1,001 pengalaman berharga.
Ujarnya, selama ini, dia tidak pernah mempelajari teknik anyaman tersebut dan peluang ini sama sekali tidak dilepaskan.
“Saya begitu tertarik dengan demostrasi yang dilakukan oleh golongan wanita yang mengusahakan produk kraf berasaskan rotan.
“Bagus program seperti ini kerana dapat memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar yang berminat untuk menceburi atau mencuba seni kraftangan tersebut,” katanya yang datang ke program jelajah tersebut bersama keluarganya.
Seorang pengunjung dari Kedah, Nor Aiman Nor Hasan Azmi, 20, berkata, dia pertama kali
mencuba membuat anyaman rotan selepas diberi peluang dan digalakkan untuk sama-sama menyertai aktiviti tersebut.
Katanya, dia dan rakan-rakan begitu teruja untuk belajar menganyam rotan dan menghasilkan produk sendiri sebagai sagu hati untuk dibawa pulang sempena AKM Perlis ini.
“Mereka bagi peluang kepada pengunjung mencuba dan tidak salah kita cuba menghasilkan kraftangan rotan tersebut iaitu berupa lapik gelas,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong, Rosmuna Ibrahim berkata, sambutan yang diterima sangat-sangat mengalakkan di mana pengunjung menunjukkan minat menyertai demostrasi ini.
Ujarnya, ramai yang teruja untuk mencuba sendiri menganyam produk berasaskan rotan dan ahli persatuan mengajar pengunjung untuk menghasilkan kraf ini.
“Selain mengadakan demostrasi, kami juga ada menjual produk kraftangan rotan ini dan produk yang paling mendapat sambutan adalah tudung saji.
“Program seperti ini secara tidak langsung memberi peluang kepada wanita-wanita dari persatuan ini menambah sumber pendapatan di samping memperkenalkan produk,” katanya. - DagangNews.com