Pengurangan bantuan dapat kurangkan risiko NPL - Moody's | DagangNews Skip to main content

Pengurangan bantuan dapat kurangkan risiko NPL - Moody's

 

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Pengurangan secara beransur-ansur pakej bantuan COVID-19 dapat membantu mengelakkan pinjaman tidak berbayar (NPL) dalam kalangan bank-bank di ASEAN. 

 

Ini dapat memberi tempoh masa tertentu kepada peminjam dan bank untuk berhadapan impak pandemik wabak itu, menurut Moody's Investor Service. 

 

Dalam laporan terkininya, 'Bank - ASEAN dan India : Pengurangan berperingkat bantuan COVID-19 kurangkan risiko penurunan kualiti aset', agensi itu berkata, kebanyakan pakej bantuan yang disediakan pengawal selia di rantau ASEAN dan India adalah pinjaman moratorium, yang telah atau akan dihentikan secara berperingkat di kebanyakan negara di rantau ini. 

 

Penolong Naib Presiden dan Penganalisis Moody's, Rebecca Tan berkata, pengurangan secara berperingkat ini akan memberi lebih masa kepada peminjam untuk menyelaraskan dan membolehkan bank membina semula penampan kerugian, bagi mengurangkan risiko dalam kualiti aset perbankan. 

 

"Namun, risiko masih ada di tengah-tengah pemulihan yang tidak menentu pada tahun hadapan termasuk gelombang baharu COVID-19," katanya. 

 

Pendekatan ini akan memberi tempoh masa kepada bank untuk menguruskan kualiti aset ekoran kemerosotan ekonomi yang akan menyebabkan kadar pengangguran dan tekanan kepada hasil korporat.

 

Sebagai pengganti pinjaman moratorium, pengawal selia menggalakkan bank-bank menstruktur semula pinjaman dengan membenarkan peminjam dengan mengklasifikasi semula sebagai 'pinjaman yang berbayar.'

 

Di Filipina, Malaysia dan Thailand, pinjaman moratorium ini masih dilaksanakan dalam pelbagai peringkat. 

 

Dalam kalangan 3 negara itu, ruang lingkup peminjam yang layak adalah lebih meluas di Filipina yang mana di bawah peraturan baharu mulai 1 Oktober lalu, kesemua bank layak melaksanakan moratorium dengan tempoh 60 hari bagi kesemua pinjaman termasuk pokok, faedah atau kedua-duanya bagi tempoh semasa atau sebelum 31 Disember 2020.  

 

Sementara itu, di Malaysia pula, pinjaman moratorium ketika ini hanya terhad untuk kumpulan tertentu sahaja termasuk peniaga mikro dengan jumlah pembiayaan sehingga RM150,000 manakala di Thailand pula, bank menawarkan moratorium mengikut kes-kes tertentu.  - DagangNews.com