Siab Holdings Bhd tukar nama kepada Taghill Holdings Berhad | DagangNews Skip to main content

Siab Holdings Bhd tukar nama kepada Taghill Holdings Berhad

Siab Holdings Bhd ditukar nama kepada Taghill Holdings Berhad.
Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 24 Sept - Nama syarikat pembinaan, Siab Holdings Berhad di Bursa Malaysia akan ditukar kepada Taghill Holdings Berhad berkuat kuasa Khamis ini.

 

Dalam pemaklumannya, nama pendek saham syarikat itu akan ditukarkan daripada Siab kepada Taghill dan warannya daripada Siab-WA kepada Taghill-WA.

 

Menurutnya, sekuriti syarikat itu akan diniagakan dan disebut harga di bawah nama baharu tersebut berkuat kuasa 9 pagi pada hari Khamis, 26 September 2024.

 

Bagaimanapun nombor saham syarikat itu kekal tidak berubah.

 

Siab sebelum ini memaklumkan menerima Notis Pendaftaran Nama Baru mengikut Seksyen 28 Akta Syarikat 2016 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 20 September 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Siab Holdings lantik Wong Yih Ming dan Vincent Chu Yee Hong sebagai Pengarah Eksekutif Syarikat

 

Sehubungan itu, nama syarikat telah ditukar daripada "SIAB HOLDINGS BERHAD" kepada "TAGHILL HOLDINGS BERHAD" berkuat kuasa dari 20 September 2024.

 

Siab telah menyelesaikan pelaksanaan tawaran terbitan hak yang mengumpul lebih RM92 juta untuk menyokong pengambilalihan Taghill, sebuah syarikat perunding pengurusan projek dan kontrak pembinaan.

 

Buku pesanan kumpulan adalah sebanyak RM1.48 bilion pada 30 Jun, dan Taghill telah komited kepada jaminan keuntungan sekurang-kurangnya RM24 juta untuk tahun kewangan 2024 dan 2025 secara kumulatif.

 

Sementara itu, Siab telah kembali mencatatkan keuntungan pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2024 dengan keuntungan bersih sebanyak RM107,000 berbanding kerugian bersih RM3.9 juta tahun lalu.

 

Pendapatan untuk suku tersebut merosot 43.2% kepada RM38.2 juta berbanding RM67.3 juta.- DagangNews.com