Pengurangan kos untuk kertas pulpa, plastik, pengangkutan akan meningkatkan struktur kos NTPM, kata Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Pengurangan kos untuk kertas pulpa, plastik, pengangkutan akan meningkatkan struktur kos NTPM, kata Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mei - Struktur kos NTPM Holdings Bhd dijangka bertambah baik sepanjang FY24 kepada FY25 berikutan penurunan harga bahan mentah (kertas pulpa & plastik) dan kos pengangkutan, kata Affin Hwang Capital Research.

 

Firma itu menjangkakan, harga kertas pulpa akan menjadi lebih baik dalam tempoh akan datang kerana lebih banyak bekalan kertas pulpa dijangka akan berada dalam pasaran ketika pengeluar utama, China, dibuka semula.

 

Katanya, kos pengangkutan dijangka menurun dan mengurangkan kekangan rantaian bekalan.

 

“Kami menjangkakan tekanan kos yang berkurangan ini dapat membantu mengimbangi peningkatan kos utiliti yang disebabkan oleh tarif elektrik yang lebih tinggi berkuat kuasa 1 Januari 2023.

 

"Dengan itu, kami mengunjurkan margin keuntungan teras meningkat daripada 0.03% pada FY23 kepada 1.8% pada FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, Affin Hwang Capital berkata, permintaan untuk kertas tisu telah terbukti kalis kemelesetan dan menjadi keperluan untuk kegunaan harian.

 

Firma itu menjangkakan permintaan dan jualan yang stabil untuk produk NTPM walaupun dalam masa ekonomi yang mencabar.

 

"Kami mengunjurkan barisan teratas NTPM berkembang pada 7% daripada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sepanjang FY22-FY25, disumbangkan oleh segmen kertas tisu (8.9%) dan penjagaan diri (2.1%)," katanya.

 

Walaupun firma itu mempunyai unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY23 NTPM sebanyak 15%, ia menaikkan anggaran EPS FY24 kepada FY25 syarikat masing-masing sebanyak 60% dan 39%.

 

Ini kerana syarikat itu masih menghadapi tekanan kos tinggi pada FY23, tetapi sepatutnya lebih baik sepanjang FY24 hingga FY25, katanya.

 

"Kami juga optimis mengenai pemegang saham utama baharunya yang boleh membawa manfaat sinergi kepada Sunway Construction.

 

"Kami menyemak naik saranan kepada 'beli' daripada 'jual' dengan harga sasaran (TP) 55 sen," katanya. - DagangNews.com