Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Jan. - Sebuah pakej bantuan baharu, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari lalu sebagai menambah baik inisiatif sedia ada selain mempercepatkan pelaksanaan bantuan yang berkaitan.
Peruntukan sehingga RM15 bilion disasarkan kepada golongan yang terkesan, apatah lagi pengumuman bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada pemandu bas dan teksi membolehkan mereka untuk menarik nafas lega seketika.
Bagaimanapun, kegusaran mereka tidak terhenti di situ sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 terus dipanjangkan untuk mengekang penularan COVID-19.
Mungkin timbul kerisauan, adakah mereka terpaksa kembali kepada situasi ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ untuk terus bertahan dan menyelamatkan industri berkenaan semasa tempoh tersebut?
Menyambut baik atas bantuan RM500 yang diberikan, tetapi buat pengusaha bas ekspres merangkap Yang Di Pertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspress Melayu Sememanjung Malaysia (PEMBAWA), Mohamad Kaharrudin Salleh masih lagi samar sama ada mereka turut tergolong dalam bantuan tersebut atau sebaliknya.
Sementelahan pemandu bas ekspres tidak disebut dalam senarai pemandu yang bakal menerima bantuan berkenaan.
Dalam pengumuman pakej Permai, Muhyiddin menyebut bantuan ‘one-off’ RM500 akan diberikan kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 ribu pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.
“Kami masih lagi samar terhadap bantuan berkenaan, tetapi saya yakin bantuan itu juga meliputi pemandu bas ekspres kerana di dalam industri yang sama dan tiada bezanya.
“Bagaimanapun, pendapat kami sebagai pengusaha bas ekspres, kami menyokong usaha kerajaan untuk meringankan beban pemandu bas melihatkan situasi semasa yang tidak membolehkan operasi dijalankan seperti biasa, di mana permintaan penumpang tidak banyak dan melibatkan hanya aktiviti di dalam daerah.
“Kami mengikut perintah sekatan pergerakan, tetapi jangan lupa untuk memberi perhatian kepada pengusaha bas yang sekarang ini pendapatan mereka juga lumpuh,” kongsinya kepada DagangNews.com.
Ketika dihubungi DagangNews.com, Mohd. Kaharuddin sempat meluahkan keluh kesah prestasi perniagaannya yang kian meruncing di mana hanya sekitar dua daripada 50 buah bas ekspres yang dimiliki digunakan bagi memenuhi keperluan pergerakan penumpang.
Dalam masa sama, kos penyelenggaraan bas ekspres yang selebihnya perlu ditanggung sekali gus menambahkan beban kewangan yang sedia ada, ujarnya lanjut.
“Sektor kami ini memang berdepan isu pinjaman melibatkan kos penyelenggaraan dan barangan bas. Jika PKP 2.0 ini dilanjutkan, kami memohon kerajaan untuk menilai bantuan yang dapat dipanjangkan kepada industri dan syarikat bas.
“Ketika ini (saya) bergantung kepada moratorium. Jika tidak, saya tidak ada pendapatan untuk membayar hutang yang sedia ada, di mana sebelum ini dapat dilangsaikan dengan lancar,” tambah Mohd. Kaharuddin sambil meminta pertimbangan kerajaan untuk melanjutkan langkah moratorium.
Susulan pengumuman bantuan one-off berkenaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut memberi jaminan untuk menyegerakan bayaran kepada golongan yang terlibat.
Menurut sebuah kenyataan yang disiarkan 18 Januari lalu, MOTAC melihat Permai sedikit sebanyak membolehkan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya meneruskan kelangsungan penjanaan ekonomi perniagaan mereka. - DagangNews.com