Pengusaha industri pelancongan harap cadangan inisiatif Majlis Pemulihan Negara direalisasikan segera | DagangNews Skip to main content

Pengusaha industri pelancongan harap cadangan inisiatif Majlis Pemulihan Negara direalisasikan segera

oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA LUMPUR 9 Nov - Pemain industri pelancongan di seluruh Malaysia berharap kerajaan dapat merealisasikan cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya inisiatif serta bantuan dirangka segera bagi memacu semula sektor pelancongan pasca pandemik COVID-19.

 

Beberapa operator hotel dan pengusaha pelancongan yang dihubungi DagangNews.com mengakui kadar pemulihan operasi pelancongan mereka masih sangat perlahan iaitu hanya sekitar 30% hingga 40% sahaja.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Mcorp Sdn Bhd, Sazali Sabri berkata, pihaknya kini masih bergelut dengan beberapa isu berkaitan seperti kekurangan tenaga pekerja dalam sektor pelancongan.

 

 

Sazali Sabri
                 Sazali Sabri

 


"Di Hotel Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) misalnya, kami masih memerlukan antara 20 hingga 30 pekerja terutama dalam bidang 3D (Dirty, Difficult and Dangerous - Kotor, Sukar dan Bahaya).

 

"Ketika ini kami mempunyai 87 pekerja namun ia masih belum mencukupi untuk jaminan kualiti perkhidmatan yang terbaik bagi keselesaan pelancong yang datang menginap.

 

"Saya berharap kerajaan dapat mengurangkan karenah birokasi untuk pengambilan pekerja asing di setiap kementerian berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen Malaysia," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.


 

hotel mitc
Mcorp adalah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) yang diberi tanggungjawab menguruskan Hotel MITC di Melaka.


 

Mengulas lanjut, Sazali berkata pihaknya bagaimanapun tetap berterima kasih terhadap kerajaan atas pelaksanaan beberapa inisiatif sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ia dapat melegakan operator hotel.

 

"Kami turut menikmati manfaat Geran Khas Prihatin dan Program Subsidi Upah Pekerja untuk kelangsungan perniagaan dalam industri ini.

 

"Cuma, kadar pemulihan yang sangat perlahan ini amat meresahkan kami, malah ada banyak pengusaha resort dan chalet di Melaka masih belum beroperasi secara optimum ketika ini.

 

"Walaupun Melaka adalah negeri pelancongan, namun ada antara mereka hanya beroperasi dengan kapasiti 30% hingga 50% sahaja untuk meminimumkan kerugian," katanya yang berharap kerajaan merangka strategi baharu untuk melonjakkan semula sektor pelancongan di Malaysia.


 

Muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis libat urus Majlis Pemulihan Negara di Terengganu pada Julai 2022. 

 


Sebelum ini, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah banyak kali menggesa kerajaan supaya mempercepatkan dan mempermudahkan proses permohonan pekerja asing terutamanya dalam sektor-sektor kritikal seperti perladangan, pelancongan dan pembuatan.

 

Kekurangan tenaga kerja ini dikhuatiri akan merencatkan proses pemulihan sektor-sektor yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19 terutama industri pelancongan.

 

Bagi pemilik Ping Anchorage Travel & Tours Sdn. Bhd, Alex Lee Yun Ping pula, selain isu kekurangan tenaga kerja, kerajaan perlu memperhebatkan promosi di negara-negara Eropah dan negara Asia yang lain untuk membantu pemain industri 'bernafas' semula seperti biasa.

 

"Memang benar sebaik sahaja sempadan negara dibuka pada 1 April lalu, bilangan pelancong yang datang mula meningkat namun situasi itu masih tidak sama seperti dahulu.

 

"Kebanyakan pelancong tertumpu ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Ipoh, Langkawi dan Johor Bharu memandangkan pulau-pulau peranginan terutama di Terengganu baru hendak dibuka selepas Monsun Timur Laut tamat pada Mac.

 

 

Alex Lee Yun Ping
                         Alex Lee Yun Ping

 


"Saya berpendapat aspek promosi di peringkat antarabangsa perlu dilakukan lebih hebat dengan menggunakan pelbagai medium dan pada masa sama kerajaan perlu mengekalkan pelbagai geran perniagaan sedia ada untuk membantu pengusaha pelancongan bangkit semula," katanya yang mempunyai 25 kakitangan ketika ini.

 

Tambahnya, kebanyakan geran yang disediakan kerajaan agak sukar diperoleh kerana pelbagai prosedur yang agak rumit sedangkan pengusaha pelancongan pula 'berlumba' dengan masa.

 

"Contohnya, ada permohonan geran yang dibuka bermula April dan proses kelulusannya pula hanya diberi pada Ogos sedangkan kita hanya mempunyai tiga atau empat bulan sahaja sebelum pulau-pulau peranginan kembali ditutup kepada pelancong disebabkan tengkujuh.

 

"Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat membuka permohonan ini sepanjang masa kerana ia lebih praktikal buat operator pelancongan di pulau," katanya yang menyediakan tempahan pakej pelancongan ke Pulau Redang, Pulau Gemia, Pulau Perhentian, Tasik Kenyir serta resort ekslusif, Terrapuri Heritage Village di Setiu, Terengganu.

 

Beliau bagaimanapun memuji langkah kerajaan yang melaksanakan Program Subsidi Upah Pekerja dan Geran Khas Prihatin kerana ia umpama 'talian hayat' buat syarikatnya yang sifar pendapatan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 yang lalu.

 

 

Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil
        Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil

 


Sementara itu, pemilik Tanah Aina Resort di Pahang, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian yang tuntas bagi mengatasi segera masalah kekurangan tenaga pekerja dalam sektor pelancongan yang sangat kritikal ketika ini.

 

"Mengapa kerajaan tidak memberikan sahaja permit kerja secara sah kepada pendatang asing tanpa izin yang masih berada di Malaysia sekarang tanpa perlu membuat permohonan baru kemasukan pekerja dari luar.

 

"Saya berpendapat cara itu lebih praktikal kerana PATI yang ada ini hanya perlu melalui proses pemutihan dan boleh diserahkan segera kepada majikan yang berminat mengikut bidang kekosongan di syarikat masing-masing.

 

"Kekurangan tenaga kerja bererti akan menjejaskan kualiti perkhidmatan sedangkan sektor pelancongan adalah antara penyumbang terbesar kepada KDNK (Keluaran  Dalam Negara Kasar)," katanya yang berharap kerajaan dapat memperkenalkan lebih banyak inisiatif baharu untuk pengusaha pelancongan. - DagangNews.com