Pengusaha kedai kopi berisiko gulung tikar jika rokok diharamkan sepenuhnya - MSCSPGA | DagangNews Skip to main content

Pengusaha kedai kopi berisiko gulung tikar jika rokok diharamkan sepenuhnya - MSCSPGA

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Persatuan Pemilik Am Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA)  merayu kepada Menteri Keishatan Khairy Jamaluddin untuk mempertimbangkan semula Rang Undang-Undang Tembakau bagi mengelakkan pengusaha kedai kopi gulung tikar.

 

Presiden MSCSPGA, Wong Teu Hoon berkata, sektor itu berisiko untuk ditutup kerana sekiranya undang-undang itu diluluskan mereka tidak boleh lagi menjual rokok kepada mereka yang lahir selepas 2007.

 

Katanya, pemilik kedai juga bakal didenda RM30,000 atau penjara tiga tahun sekiranya menjual rokok kepada mereka yang lahir selepas 2007.

 

"Industri perkhidmatan ini bergantung kepada pekerja muda untuk kesinambungan perniagaan dan dengan ini kami tidak lagi dapat mengambil pekerja baharu dan berdepan masalah mengekalkan pekerja sedia ada.

 

"Keadaan ini menjadikan kehidupan pengusaha kedai kopi yang menghadapi kekurangan kakitangan selain persaingan rokok haram yang semain meningkat.

 

"Kepentingan pembayar cukai yang baik seperti kami tidak diambil kira, manakala penyeludup mendapat keuntungan daripada semua ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

 

Selain itu, pengawalan pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

 

RUU berkenaan turut mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara yang berkaitan.

 

Teu Hoon juga, menggesa kerajaan untuk terus berhati-hati kerana pasaran rokok haram dijangka semaki besar selepas penguat kuasaan undang-udang itu.

 

Beliau juga meminta agar kempen pendidikan mengenai rokok diteruskan dalam usaha mewujudkan kesedaran di kalangan generasi muda. - DagangNews.com