Oleh NORLIDA ZAKIRAI @ZAKARIA dan ZURIA AKMAR SA’AD
SITUASI COVID-19 di Malaysia menunjukkan penyusutan kes harian yang semakin baik. Pada 26 September 2021, kadar lengkap vaksinasi rakyat Malaysia telah mencapai 83.7% dengan peralihan kepada fasa 3 di beberapa negeri.
Peralihan fasa ini memberi petunjuk pembukaan beberapa sektor perkhidmatan terutamanya kebenaran semula operasi perniagaan.
Pembukaan operasi perniagaan merupakan khabar gembira yang di tunggu peniaga terutamanya pengusaha restoran dan kedai makan.
Mereka menarik nafas lega dan sudah boleh tersenyum lebar apabila pelanggan telah dibenarkan untuk ‘dine-in’ di kedai.
Ekoran itu, pengusaha kedai makan telah mula membuka perniagaan dan membenarkan pelanggan menjamu selera di kedai.
Tetapi kebenaran operasi dibenarkan hanya kepada pemilik perniagaan dan pekerja yang telah lengkap di vaksinasi.
‘Dine-in’ bagi pelanggan juga di benarkan kepada pelanggan yang telah lengkap 2 dos vaksinasi dan melepasi tempoh matang vaksin.
Prosedur operasi standard (SOP) ini perlu dipatuhi bagi mengekang penularan COVID-19 dan memutuskan rantaian wabak.
Malangnya, terdapat segelintir peniaga yang tidak patuh kepada SOP yang telah digariskan. Mereka hanya memeriksa sijil vaksinasi pelanggan pada hari-hari awal pembukaan.
Tiada juga pekerja yang diarahkan untuk memeriksa aplikasi MySejahtera apabila jumlah pelanggan semakin ramai dengan alasan mereka tidak cukup pekerja untuk menguruskan pesanan pelanggan.
Situasi ini menyebabkan ada pelanggan yang belum lengkap dos kedua atau belum mencapai tempoh matang vaksinasi mengambil peluang untuk makan di kedai.
Pelanggan semakin berani kerana telah memerhati dan mengenal pasti gerai makanan yang ‘longgar’ pelaksanaan pematuhan SOP.
Kegagalan sesetengah peniaga mematuhi SOP di kalangan peniaga kedai mungkin disebabkan beberapa faktor.
Diantaranya, mereka tidak mahu mengambil ramai pekerja kerana bimbang operasi perniagaan bakal ditutup lagi disebabkan keadaan yang tidak dapat dijangka.
Sementara itu, kemungkinan ada juga peniaga yang cuba untuk menarik ramai pelanggan kerana mereka telah mengalami kerugian selama lebih kurang empat bulan dan kini mereka mengambil peluang untuk melonjakkan hasil perniagaan.
Tinjauan terhadap 22 sektor perniagaan yang telah dibenarkan beroperasi melalui Ops Samar oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula 13 Mei 2020 sehingga 26 Ogos 2021 telah mengenakan kompaun/kes sebanyak 859 daripada 746,645 premis telah diperiksa.
Walaupun peratus pelanggaran adalah di tahap rendah, namun keadaan ini jelas membuktikan kewujudan perlanggaran SOP di kalangan peniaga.
Sikap sambal lewa dan tidak endah ini amatlah membimbangkan kerana kebarangkalian kes untuk mencanak kembali adalah di luar kawalan sekiranya perkara sedemikian terus berlaku.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, masih terdapat ketidakpastian keberkesanan vaksin terhadap varian.
Tempoh kekebalan dan keperluan penambahan vaksin adalah masih di peringkat kajian.
Lantaran itu, pencegahan adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian. Disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pemakaian pelitup muka, membersihkan tangan, menjaga penjarakan sosial dan tidak bersesak di tempat awam adalah pencegahan yang perlu diamalkan pada masa kini walaupun kita sudah divaksinasi.
Lantaran itu, kerjasama daripada semua pihak samada peniaga mahupun pelanggan diperlukan dalam menangani wabak ini.
Peniaga harus memainkan peranan dalam usaha mematuhi SOP. Janganlah kita bersikap mengambil kesempatan di atas kebenaran ini dengan mengabaikan SOP yang ditetapkan dek kerana ingin mengaut keuntungan.
Kerajaan telah memberi kebenaran kerana kes harian telah menunjukkan penurunan yang baik.
Pelanggan juga perlu meningkatkan kesedaran dan perlu akur dengan tahap kesihatan kendiri. Usahlah bersikap tamak dan pentingkan diri sendiri.
Implikasi yang amat buruk bakal berlaku sekiranya kegagalan peniaga dan pelanggan mematuhi SOP yang hanya akan merugikan banyak pihak dan seterusnya mengakibatkan kegagalan negara untuk pulih seperti sedia kala. – DagangNews.com
Norlida Zakirai@Zakaria adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka manakala Zuria Akmal Sa’ad adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang.