SABAN hari semakin meningkat kes jenayah yang terdapat di Malaysia terutamanya dalam kalangan belia.
Segelintir belia masih tidak menyedari perbuatan mereka bahawa ia akan memberi kesan yang sangat besar kepada negara. Mereka tidak mempunyai kesedaran sivik yang sepenuhnya dalam diri. Sikap sebegini telah mula luntur dalam kalangan belia.
Kesedaran sivik sebenarnya sangat penting bagi setiap individu kerana ia dapat memelihara kepentingan bersama dan hak mereka.
Pelbagai mekanisme yang telah dilakukan demi membanteras jenayah namun perbuatan negatif seperti ini masih menemui jalan buntu. Persoalan ini akan kita rungkaikan bersama.
Faktor penyebab
Antara faktor jenayah masih berlaku dalam kalangan belia kerana masalah pengangguran. Hal ini dapat dilihat melalui kegawatan ekonomi yang semakin membimbangkan.
Kegawatan ekonomi ini boleh menyebabkan penurunan permintaan barangan dan pengeluaran dikurangkan. Perkara tersebut akan memberi kesan kepada belia dengan pemberhentian kerja secara paksa atau sukarela.
Hal ini dikatakan demikian kerana mereka merupakan kumpulan terakhir yang diupah oleh majikan dan kelompok pertama diberhentikan disebabkan kekurangan pengalaman kerja, tidak mempunyai kemahiran yang baik serta jaringan sosial yang lemah.
Ekonomi memainkan peranan yang penting bagi membangunkan negara. Namun kegawatan ekonomi akan memberikan kesan yang buruk terhadap negara malah dalam kalangan belia.
Dalam laporan bertajuk `Perkasa belia peneraju masa depan negara’ terbitan Wilayah Ku (2020) memetik Penganalisis Penyelidik di EMIR Research Nur Sofea Hasmira bahawa di Malaysia, golongan belia antara yang paling teruk terjejas dalam isu yang diperkatakan itu.
Perkara ini juga disokong dengan data yang dikumpulkan melalui artikel tersebut iaitu di Malaysia, belia yang berumur antara 15 hingga 24 tahun menyumbang seramai 2.8 juta tenaga buruh, iaitu 18% tetapi kumpulan itu mewakili 58.2% jumlah penganggur.
Faktor penyalahgunaan dadah juga merupakan jenayah yang masih berlaku dalam kalangan belia. Penyalahgunaan dadah sering terjadi kepada belia pada masa kini. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka mudah terpengaruh dengan rakan sebaya.
Mereka tidak menyedari bahawa perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang. Hal ini dapat dibuktikan dengan peningkatan saban tahun golongan belia sering terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Laporan Utusan Malaysia bertajuk “88,214 belia positif dadah sepanjang tahun lalu” oleh Nur Aina Hanis Abd Halim (2023) mengatakan bahawa statistik Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan sebanyak 88,214 belia berusia antara 15 hingga 39 tahun ditahan terlibat dalam penagihan dadah sepanjang 2022.
Oleh hal yang demikian dadah merupakan bahan yang terlarang yang semakin meningkat dan berleluasa serta ia akan mengakibatkan ketagihan kepada seseorang. Penggunaan dadah ini semakin meningkat dalam kalangan belia.
Di manakah kesedaran mereka betapa bahayanya jenayah ini?
Penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga menyebabkan jenayah semakin meningkat dari semasa ke semasa. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan kurang menegaskan peraturan atau akta.
Kelemahan penguatkuasaan undang-undang menyebabkan mereka tidak gentar akan tindakan yang akan dikenakan oleh pihak berkuasa.
Hal ini dapat dijelaskan melalui artikel Suara Sarawak yang bertajuk Didik generasi pemimpin masa depan oleh Lydia Aman (2023) mengatakan bahawa menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2021, seramai 15.1 juta orang atau 46.64% penduduk di negara ini adalah terdiri daripada golongan belia yang berusia 15 tahun hingga 40 tahun.
Dalam usaha mendidik golongan belia menjadi pemimpin yang berkaliber, berintegriti dan dipercayai masyarakat sudah semestinya berdepan cabaran yang sukar apabila pelbagai perkara yang negatif yang boleh mempengaruhi pemikiran belia masa kini.
Jadi bagaimanakah untuk mengatasi jenayah dalam kalangan belia? Mereka perlu diberi perhatian kerana mereka inilah yang bakal menjadi pemimpin kelak.
Langkah-langkah mengatasi jenayah dalam kalangan belia
Antara langkah yang dapat mengatasi jenayah ialah memperkasakan penguatkuasaan undang-undang. Hal ini dikatakan demikian kerana undang-undang memainkan peranan yang penting dalam membasmi segala kegiatan jenayah.
Tanpa undang-undang, kegiatan jenayah akan berleluasa dan negara akan menjadi huru-hara. Terdapat pendekatan baharu untuk mengelakkan kegiatan jenayah iaitu berdasarkan bukti penyelidikan.
Laporan Berita Harian yang bertajuk “Kaedah baharu tangani kes jenayah” oleh Dr. Mukhriz Mat Rus (2020) menyatakan polisi pencegahan dan pengurusan jenayah dirumuskan berdasarkan bukti penyelidikan atau evidence-based.
Melalui kaedah ini, bukti dapat diperkukuhkan secara teliti dan lebih mendalam. Secara tidak langsung dapat membantu pihak berkuasa untuk melakukan operasi.
Bagi mengelakkan jenayah semakin meningkat dalam kalangan belia kerajaan perlulah memperkasakan ekonomi negara. Hal ini dikatakan demikian kerana belia merupakan aset yang penting kepada negara.
Jadi kerajaan perlulah meningkatkan peluang pekerjaan bagi memudahkan golongan belia untuk bekerja dalam bidang yang diinginkan. Perkara ini dapat membantu kadar penggangguran dalam kalangan belia berkurang.
Laporan Sinar Harian “Peluang pekerjaan makin bertambah di bawah pimpinan Ismail Sabri” oleh Muhammad Zakwan Nazaraly (2020) menyatakan pengangguran belia, kebolehpasaran siswazah, perlindungan pekerja dan pembangunan bakat ditangani dalam Bajet 2023 dengan memanfaatkan teknologi tinggi sekali gus memperkukuh peningkatan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan taraf hidup.
Hal ini dapat membantu golongan belia dalam peluang pekerjaan sekaligus mengurangkan kadar pengangguran dan jenayah.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai isu jenayah yang sering berlaku dalam kalangan belia. Namun demikian terdapat pelbagai langkah yang dapat membantu untuk mengelakkan jenayah berlaku.
Oleh hal yang demikian semua pihak perlulah berganding bahu untuk mencegah jenayah. Hal ini sekali gus dapat membantu belia untuk meningkatkan imej negara kerana mereka merupakan aset negara. Bak kata pepatah berat sama dijinjing, ringan sama dijunjung.- DagangNews.com