Peningkatan jumlah jualan, RHB Investment unjur sentimen terhadap sektor sarung tangan bertambah baik pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Peningkatan jumlah jualan, RHB Investment unjur sentimen terhadap sektor sarung tangan bertambah baik pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - Sentimen terhadap sektor sarung tangan diunjur bertambah baik pada tahun hadapan didorong peningkatan jumlah jualan pada pada November 2023.

 

RHB Investment menjangkakan pemulihan peningkatan jualan kekal mencabar dan perubahan ketara hanya dapat disaksikan pada separuh kedua 2024.

 

Katanya, bagi suku ketiga tahun ini, Kossan Rubber Industries Berhad mencatatkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan, manakala selebihnya (Supermax Corporation Berhad dan Hartalega Holdings Berhad) berada di bawah jangkaan.

 

"Bagi suku tersebut, pengeluar sarung tangan melaporkan peningkatan suku ke suku antara 5% hingga 15% tetapi terkesa dengan harga jualan yang lebih lemah iaitu penurunan antara 3% hingga 7%.

 

"Ia adalah kesan positif daripada peningkatan dalam dinamik kos dan latihan rasionalisasi kilang termasuk Hartalega, Kossan dan Supermax dapat melihat keuntungan yang lebih baik untuk suku tersebut," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan bekalan industri akan menguncup sebanyak 50.7 bilion keping tahun ke tahun pada 2023, memandangkan penyusutan 40 bilion daripada Top Glove Corporation Berhad, penyusutan 13 bilion daripada Hartalega, 3 bilion daripada Kossan dan 5 bilion daripada Supermax.

 

Katanya kedaan itu harus diimbangi oleh tiga bilion kapasiti yang baru ditambah daripada pengeluar sarung tangan China Intco Medical, dan 7.3 bilion pengembangan kapasiti yang dirancang dari Thailand.

 

"Unjuran bekalan tahunan industri 2023 kini berjumlah 373 bilion keping," katanya.

 

Katanya,wajaran sektor adalah disebabkan jangkaan normalisasi kos, rasionalisasi barisan pengeluaran dan pandangan bahawa inventori pelanggan boleh menjadi normal menjelang separuh kedua tahun hadapan.

 

“Bagaimanapun, kami memilih untuk kekal konservatif, kerana kami masih belum melihat permintaan yang konsisten.

 

"Kami menjangkakan peningkatan dalam keterlihatan permintaan, ditambah pula dengan tinjauan kos yang menggalakkan untuk 2024, untuk menawarkan ruang utama untuk peningkatan margin," katanya. - DagangNews.com